ARTIKEL

Dr Stephen Rundi Utom

Bahagian Kuching, Bintulu disytihar kawasan jangkitan rabies

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak hari ini mengisytiharkan Bahagian Kuching dan Bintulu sebagai kawasan jangkitan rabies atau wabak anjing gila.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia susulan wabak tersebut dikesan menerusi pensampelan yang dijalankan ke atas anjing-anjing liar di bahagian tersebut.

“Daripada 16 sampel anjing yang diuji, 12 daripadanya adalah didapati positif.

“Iaitu lapan di Kuching, diikuti dua di Bintulu dan masing-masing satu ke Padawan dan Bau.

Kesemua anjing yang didapati positif itu tidak divaksinasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu Rundin menegaskan, hari ini pihaknya menandatangani perintah vaksinasi antirabies di bawah Seksyen 40 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

“Ordinan tersebut menghendaki semua anjing di negeri ini hendaklah diberikan vaksin anti rabies dan dos penggalak tahunan.

“Justeru, tahun ini kita menyasarkan untuk memberi vaksin kepada 50,000 ekor anjing.

Pemilik anjing mesti bertanggungjawab memastikan haiwan kesayangan mereka divaksin.

“Mana-mana pemilik atau penjaga (anjing) gagal mematuhi arahan berhadapan hukuman sehingga RM2,500.

Manakala anjing yang sudah terdedah kepada rabies dan tidak mempunyai bukti vaksinasi, akan ditidurkan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan pemilik anjing supaya tidak membiarkan berkeliaran di luar kerana boleh didenda sehingga RM5,000 di bawah Seksyen 37 (3), VPHO 1999 atau sehingga RM2,500 di bawah seksyen 37 (4).

Tegasnya, pihak berkuasa akan menjalankan operasi rawak dari rumah ke rumah sebagai langkah pematuhan bermula Februari depan.

Berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), 16 kematian dicatat pada tahun lepas daripada 18 kes rabies melibatkan manusia.

Menjadikan kumulatif kes rabies melibatkan manusia berjumlah 73, dengan 66 kematian sejak Julai 2017.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU