KUCHING: Seramai 130 peserta dari serata Pulau Borneo menyertai pertandingan Borneo’s Star Talent -satu program utama di Ekspo Pengguna Antarabangsa Borneo (BICE).

BICE membawa slogan ‘Melalui Pameran Jadikan Keindahan Borneo Terkenal di Peringkat Antarabangsa’, berlangsung selama empat hari dan menghimpunkan penyertaan produk antarabangsa, sekali gus menonjolkan potensi Borneo sebagai hab pameran dan perdagangan di peringkat serantau serta global.
Menurut pengerusi penganjur BICE, Dr Wynson Ong, ekspo ini bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan mempromosikan produk, tetapi juga membuka ruang kepada bakat tempatan untuk diketengahkan secara lebih meluas.


Beliau berharap agar BICE dan Borneo’s Star Talent akan terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, serta mampu melahirkan lebih ramai bakat dan usahawan Borneo yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
BICE dalam kenyataan berkata, Borneo’s Star Talent menerima penyertaan 130 peserta dari seluruh Borneo, dengan 36 peserta mara ke peringkat separuh akhir pada 30 Januari, sebelum 20 peserta terbaik layak ke peringkat akhir pada 31 Januari.
Pertandingan menampilkan pelbagai bakat termasuk nyanyian, tarian tradisional dan moden, serta persembahan berkumpulan yang mencerminkan kepelbagaian budaya serta kreativiti masyarakat Borneo.
Dalam kategori solo, Duo Tangon dari Sabah dinobatkan sebagai pemenang, manakala Parhakow dari Sabah memenangi kategori kumpulan.
Tempat kedua kategori solo dimenangi oleh Nursyarmimi Izzati dari Kuching dengan tarian Bollywood, dan kategori kumpulan tempat kedua dimenangi oleh Marshmallow dari Miri.
Tempat ketiga kategori solo menjadi milik Rylette Bewsher dari Sabah, manakala kategori kumpulan tempat ketiga dimenangi oleh KinATe’Sprouts dari Kuching.
Pertandingan turut memperkenalkan anugerah khas iaitu Anugerah Bintang Budaya Sarawak yang dimenangi oleh Gasara Tari, Anugerah Bintang Budaya Sabah oleh Tetarigas dan Anugerah Bintang Budaya Indonesia oleh Fiza Kamila.


