BA’KELALAN: Ba’Kelalan berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk, khususnya golongan belia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata potensi itu perlu dimanfaatkan menerusi perancangan pembangunan yang lebih tersusun, termasuk menaik taraf kemudahan pelancongan serta memperluas pasaran produk kraftangan dan hasil komuniti setempat.
Beliau berkata, keunikan budaya dan tradisi masyarakat berbilang kaum di Ba’Kelalan ialah aset yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan, selain berupaya menjana pendapatan serta merancakkan kegiatan ekonomi penduduk.
Menurutnya, perkembangan infrastruktur di kawasan itu, khususnya keadaan jalan raya, turut menunjukkan kemajuan berbanding kunjungan terakhirnya pada 2021.
Katanya, perkembangan berkenaan amat menggalakkan, namun usaha pembangunan perlu diteruskan secara berperingkat bagi memastikan penduduk terus menikmati kemudahan asas yang lebih baik serta akses kepada peluang ekonomi.

“Ba’Kelalan mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, selain keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan yang boleh dijadikan tarikan kepada pengunjung.
“Saya berharap kita dapat bekerjasama mengenal pasti peluang pembangunan, khususnya dalam menaik taraf kemudahan pelancongan serta memperkasakan produk kraftangan tempatan supaya dapat diketengahkan ke pasaran lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya ketika menghadiri Majlis Makan Malam Perpaduan Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian N.81 Ba’Kelalan, malam tadi (Sabtu).
Tiong berkata, pembangunan sektor pelancongan dan kraftangan juga perlu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat, terutama golongan muda, supaya mereka berpeluang menjana pendapatan dan membina masa depan di kawasan kelahiran sendiri.

Sehubungan itu, usaha memperluas pasaran produk tempatan dan meningkatkan nilai komersial hasil kraftangan perlu diberi perhatian bagi membolehkan pengusaha komuniti menembusi pasaran lebih besar.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian masyarakat antara kekuatan utama Ba’Kelalan yang perlu terus dipelihara bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dalam suasana aman dan muafakat.
“Ba’Kelalan mungkin jauh di mata, tetapi sentiasa dekat di hati kepimpinan PDP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Marilah kita terus bersatu, mengukuhkan perpaduan serta bekerjasama dengan PDP dan Kerajaan GPS bagi memperjuangkan pembangunan dan masa depan yang lebih baik untuk seluruh masyarakat Ba’Kelalan,” tambahnya.
Beliau yakin kerjasama erat antara masyarakat, pemimpin dan kerajaan mampu membuka lebih banyak ruang pembangunan, sekali gus memastikan potensi ekonomi dan pelancongan Ba’Kelalan dapat dimanfaatkan demi kesejahteraan penduduk.




