KUCHING: Perjalanan hidup dan khidmat kepada masyarakat menjadi sorotan utama Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Dewan Santapan DUN Sarawak, malam tadi.
Menerusi tayangan video khas bertajuk Bakti Tanpa Henti, tetamu yang hadir dibawa mengimbau perjalanan kehidupan dan kerjaya beliau termasuk pengalaman, tanggungjawab serta sumbangan yang dicurahkan dalam pelbagai bidang sepanjang pengabdiannya kepada masyarakat dan negara.



Dokumentasi berkenaan turut menelusuri fasa penting dalam kehidupan Tun Wan Junaidi yang membentuk perjalanan beliau sehingga memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, sekali gus menjadi penghargaan terhadap jasa dan khidmat yang dicurahkan sepanjang tempoh berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video Kembara D’Astana yang merakam perjalanan Tun Wan Junaidi bersama keluarga tercinta ke Teriso, Sebuyau dan Lingga pada 2 dan 3 Mei 2026.



Kembara berkenaan membawa beliau menelusuri kembali kenangan zaman kanak-kanak, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta menyantuni masyarakat di kawasan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan khidmatnya.
Menerusi kembara itu turut mengetengahkan usaha memelihara warisan sejarah Lingga-Banting menerusi penyerahan manuskrip, salasilah keluarga dan artifak bersejarah bagi memastikan khazanah warisan Sarawak terus dipelihara.



Malah dalam program yang sama, waris bekas Temenggung Bohari Abang Mohd Zain menyerahkan manuskrip warisan Lingga kepada Tun Wan Junaidi sebagai usaha memelihara khazanah sejarah tempatan.
Terdahulu, ketibaan Tun Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, disambut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta anakanda, Dayang Norjihan.



Majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Majlis Seni Sarawak (MSS), diikuti bacaan doa oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Sebelum jamuan makan, Tun Wan Junaidi bersama Toh Puan Fauziah menyempurnakan upacara memotong kek sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-80. Suasana mesra turut mewarnai acara itu apabila beliau menyuapkan kek kepada isterinya.


Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan, termasuk Karen Libau, Chien Ng, Firdaus Materang dan Mal Imran, selain penampilan khas Daus Eli serta Haziq Rosebi.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof; Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Sri Awang Bemee Awang Ali Basah; Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.


Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; barisan menteri dan timbalan menteri negeri serta dif kenamaan lain.
Sambutan turut dimeriahkan dengan Konsert Rakyat di Padang Merdeka yang menampilkan artis tempatan, antaranya Raquel Then, Yadee, Dayana Shini, Ramles Walter, Carry Geres dan Harry Parren, diiringi Band Agura, selain penampilan khas Floor 88, Aina Abdul dan Dato Amy Search.


