BALAI RINGIN: Kerajaan Sarawak berusaha membekalkan air terawat ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin menerusi peruntukan sebanyak RM260 juta.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, ia merupakan antara hasil pembangunan daripada perpaduan yang dikekalkan oleh rakyat.
“Projek bekalan air terawat bernilai RM260 juta ini akan membekalkan air bersih ke seluruh kampung di kawasan DUN Balai Ringin dan diharapkan siap mengikut jadual,” katanya semasa majlis penyerahan 10 sijil pelantikan kepada tuai rumah serta ketua kaum di sini, semalam.
Jelas beliau, di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) pula, peruntukan sebanyak RM55 juta disediakan bagi Projek Bandar Baharu Balai Ringin.
“Projek ini dilaksanakan oleh GKCDA dengan kos RM55 juta dan kini berada dalam proses tender.
“Di bawah GKCDA juga, terdapat projek jalan ladang bernilai RM6 juta, iaitu masing-masing RM300,000 bagi setiap 20 buah kampung.
“Selain itu, Kerajaan Sarawak akan memasang lampu solar di 35 buah kampung, yang dijangka siap pada bulan ini,” ujar beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin itu turut mengajak masyarakat agar sentiasa menjaga perpaduan yang menjadi kunci utama dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek kerajaan di sesuatu kawasan.
Pada majlis tersebut, Snowdan turut menyerahkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Kampung Mugah.


