KUCHING: Pusat Ekonomi Wanita Bandar Baru Samariang (BBS) bakal menjadi wadah baharu bagi golongan wanita setempat untuk memperkasa ekonomi keluarga menerusi pelbagai aktiviti yang mampu menjana pendapatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kemudahan itu diwujudkan bagi menyediakan ruang yang selesa dan kondusif untuk wanita berkumpul, berbincang serta merancang aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan.
Menurutnya, kewujudan pusat berkenaan amat bertepatan dengan keperluan penduduk di Bandar Baru Samariang dan kawasan sekitarnya yang hampir separuh daripada populasinya terdiri daripada golongan wanita.

“Keperluan wanita untuk mengadakan aktiviti bersama amat penting, khususnya dalam usaha meningkatkan tahap sosioekonomi keluarga melalui pelbagai aktiviti ekonomi yang boleh disertai majoriti wanita,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Ekonomi Wanita BBS di Pusat Komuniti Wanita BBS, di sini, hari ini.
Tambahnya, pusat itu dibangunkan hasil cadangan serta permohonan Jawatankuasa Pusat Komuniti Wanita Bandar Baru Samariang di bawah kepimpinan pengerusinya, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.
Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman memberitahu, kerajaan sebelum ini turut membina beberapa pusat komuniti wanita di kawasan Pantai Damai, termasuk di Kampung Pasir Pandak dan Bandar Baru Samariang, bagi menyediakan kemudahan khusus untuk golongan wanita.

“Di kawasan Pantai Damai, kita sudah membina lima pusat komuniti wanita yang mempunyai pelbagai bentuk, namun matlamatnya sama iaitu menyediakan tempat untuk wanita berkumpul, berbincang dan melaksanakan aktiviti, terutama yang berkaitan ekonomi,” jelasnya.
Kata beliau lagi, pusat berkenaan dibina menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) pada 2025 dan siap sepenuhnya sekitar April atau Mei lalu, manakala bekalan elektrik mula disediakan beberapa minggu lalu.
“Jumlah peruntukan untuk menyiapkan pusat ini ialah RM200,000. Saya berharap kemudahan yang indah dan selesa ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau meminta jawatankuasa pengurusan memastikan kebersihan, keselamatan dan penyelenggaraan pusat berkenaan sentiasa berada pada tahap baik, selain mencegah vandalisme.
Dr Abdul Rahman menambah, kemudahan itu juga boleh disewakan kepada pihak luar dengan mengutamakan penduduk setempat, manakala kadar sewaan hendaklah berpatutan supaya manfaatnya dapat dinikmati masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pembangunan pelbagai kemudahan awam di Bandar Baru Samariang membuktikan komitmen kerajaan menyediakan prasarana yang diperlukan masyarakat, selain menyokong keharmonian dan perpaduan penduduk pelbagai kaum.
Hadir sama Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, Pengerusi Pusat Komuniti Wanita Rosmah Zaini serta tetamu kehormat lain.


