Bangladesh pindahkan pelarian Rohingya ke pulau

COX’S BAZAR: Bangladesh mula memindahkan beberapa ratus pelarian Rohingya ke pulau rendah yang dibimbangi oleh PBB dan kumpulan hak asasi bahawa kawasan itu mudah terdedah kepada taufan dan banjir.

Hampir sejuta pelarian Rohingya, yang kebanyakannya melarikan diri dari serangan ketenteraan di negara jiran Myanmar pada 2017, tinggal di rangkaian kem kemanusiaan di tenggara Bangladesh.

Kebanyakan mereka menolak untuk kembali tanpa jaminan keselamatan dan hak mereka. Disebabkan geng dadah ganas dan pelampau aktif di kawasan tersebut, kerajaan Bangladesh semakin tidak sabar membersihkan kem pelarian tersebut.

Pada Khamis, sekurang-kurangnya 10 bas meninggalkan wilayah Cox’s Bazar, menuju ke bandar pelabuhan Chittagong, kata polis. “Sepuluh bas yang membawa kirakira 400 orang berangkat ke pulau itu,” kata ketua polis tempatan Ahmed Sunjur Morshed kepada AFP.

Menurut pegawai, dari Chittagong, para pelarian dibawa dengan kapal pendaratan tentera ke pulau Bhashan Char pada Jumaat. Terdahulu pegawai memberitahu AFP, dalam fasa pertama mereka merancang memindahkan sekitar 2,500 pelarian ke pulau tanah rendah itu.

Sejumlah bas sudah bersedia di kem di wilayah wilayah Cox’s Bazar, kata seorang wartawan AFP di tempat kejadian. Tetapi tidak jelas sama ada ramai yang akan menaiki bas itu, dengan kumpulan hak asasi menuduh sesetengah pelarian dipaksa supaya mahu dipindahkan secara sukarela.

Pulau Bhashan Char, berkeluasan 52 km persegi (13,000 ekar), adalah salah satu daripada beberapa semenanjung berlumpur yang muncul di kawasan itu dalam beberapa dekad ini.

Tentera Laut Bangladesh telah membina tempat perlindungan di pulau itu untuk menempatkan sekurang-kurangnya 100,000 pelarian Rohingya serta tambak sepanjang 9 meter untuk mencegah banjir.

Tetapi penduduk tempatan mengatakan baru-baru ini air pasang membanjiri pulau itu seperti beberapa tahun lalu dan taufan, kejadian biasa di rantau ini, boleh menyebabkan gelombang ribut setinggi empat atau lima meter.

Pejabat PBB di Bangladesh mengeluarkan kenyataan singkat pada Khamis dengan mengatakan ia “tidak terlibat” dalam proses penempatan semula itu dan diberi “maklumat terhad”.

Ia mengatakan PBB tidak dibenar menilai secara bebas “keselamatan, kemungkinan dan kelestarian” pulau itu sebagai tempat tinggal.

Ia mengatakan pelarian “mesti dapat membuat keputusan yang bebas dan tepat berkaitan pemindahan”. Mereka harus mendapat akses pendidikan dan penjagaan kesihatan, dan boleh meninggalkan pulau itu jika mereka mahu. – AFP

Suara Sarawak