KUCHING: Masyarakat Melanau bakal memiliki bangunan identiti sendiri melalui pembinaan Lebuk Melanau setinggi sembilan tingkat di kawasan Wisma Melanau di Jalan Ong Tiang Swee.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek bernilai RM55 juta itu diluluskan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
“Lebuk Melanau direka menggunakan motif seni Melanau bagi menyerlahkan warisan budaya kaum tersebut.
“Kita sudah membentangkan reka bentuk kepada Premier awal tahun ini dan beliau bersetuju dengan pembinaannya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Keluarga Melanau 2025 di Wisma Melanau, hari ini.
Len Talif menjelaskan, kerajaan turut memberi peruntukan sama rata kepada semua kaum seperti Orang Ulu, Iban dan Bidayuh dan lain-lain.
“Kita juga mahu kaum Melanau turut menikmati pembangunan yang setara dengan komuniti lain,” ujarnya.
Tambahnya, Lembaga Amanah Kebajikan Melanau memegang tapak Wisma Melanau selama lebih 30 tahun.
“Perkembangan pesat kawasan sekitar, termasuk Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Pusat Maklumat Islam dan Hospital dan bangunan pentadbiran agensi swasta dan kerajaan, mampu meningkatkan lagi potensi Lebuk Melanau sebagai pusat komuniti.
“Bangunan itu diluluskan secara prinsip dan dijangka ditender awal tahun depan, ia sedikit terlewat untuk dimanfaatkan semasa Sukan SEA, namun usaha mempercepat pembinaan tetap dilaksanakan,” ujarnya.
Katanya, projek ini akan digerakkan melalui kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Melanau dan persatuan Melanau seluruh Sarawak.
Beliau turut memaklumkan bahawa Lebuk Melanau dibina di tapak seluas dua ekar dan menempatkan dewan, kemudahan dobi serta ruang kegiatan masyarakat.
Turut hadir, Timbalan Persatuan Melanau Kuching, John Ling Jirid Tira dan Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, Datuk Dr Jeniri Amir.



