Bangunkan sukan papan selaju di Sarawak

KERAJAAN Sarawak diminta membangunkan sukan papan selaju atau skateboard dengan lebih serius kerana negeri ini sudah mula melahirkan atlet yang mewakili negara ke Sukan Sea.

Adun Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman selaku Penaung Persatuan Sukan Papan Selaju Sarawak (SKA) berkata, atlet tersebut ialah Mohd Nur Firdaus Marzuki, 23, dari Bintulu. Mohd Nur akan mewakili Malaysia dalam acara papan selaju Sukan Sea Manila 2019 yang bermula pada 30 November hingga 11 Disember depan.

“Kita tahu Kerajaan Sarawak telah banyak membantu melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak. “Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita lebih serius membangunkan sukan ini apabila terdapat atlet kita yang mewakili Malaysia,” katanya ketika sidang media SKA bersama penaja Yayasan Karnaen (YK9) di Jalan Rubber, Satok semalam.

Fazzrudin berkata, lokasi latihan dan pertandingan amat penting dan berharap SKA akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Azura Sarbin.

“Ini penting untuk memastikan lokasi sesuai dan berkesan untuk melahirkan atlet sehebat Mohd Nur Firdaus,” katanya. Fazzrudin terlibat secara langsung dengan sukan ini bersamasama Pengerusi SKA, Mohamad Farouk Tufail Mahmud sejak 2016.

“Mereka (SKA) tidak putus asa menganjurkan pertandingan papan selaju untuk mencungkil bakat baharu walaupun berhadapan cabaran,”katanya.

Fazruddin mendedahkan SKA mengatasi cabaran itu dengan menggunakan bangunan di sekitar bandar raya ini sebagai lokasi pertandingan.

Sementara itu, Mohd Nur Firdaus Marzuki yang berasal dari Miri dan menetap di Bintulu mengakui cabaran utama mereka ialah ketiadaan gelanggang permainan.

“Tempat itu yang ada sekarang hanya untuk mereka yang mula mempelajari sukan ini,” katanya yang juga kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak di Bintulu.

Mohd Nur Firdaus sebelum ini mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa di Republik Czech pada 2016 dan Sukan Asia di China tahun lepas.