KUCHING: Seramai 349 ketua isi rumah (KIR) melibatkan 1,172 mangsa kini berlindung di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Sarawak setakat jam 6 petang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, trend pemindahan dilaporkan menunjukkan peningkatan susulan hujan berterusan yang melanda beberapa kawasan.
“Antara PPS yang dibuka termasuk Dewan Taman Duranda Emas, Siburan yang menempatkan 47 KIR melibatkan 189 mangsa serta Sekolah Kebangsaan Tanah Merah yang menempatkan 87 KIR dengan 248 mangsa.
“Turut dibuka ialah Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru yang menempatkan 31 KIR melibatkan 119 mangsa dan Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongag, Krokong yang menempatkan 23 KIR dengan 93 mangsa.
“PPS lain di Serian, Samarahan, Simunjan dan Sibu turut dibuka bagi menampung mangsa terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut sekretariat itu, pihak berkuasa akan terus memantau perkembangan semasa serta menyalurkan bantuan yang diperlukan kepada mangsa banjir.
Penduduk di kawasan terjejas turut diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya pemindahan lanjut diperlukan.



