ARTIKEL

KUCHING: Dua kejadian banjir kilat yang berlaku di pekan Saratok dan Perumahan Desa Damai pada September lalu, selain masalah hakisan tebing sungai di tiga lokasi sekitar Kalaka, memerlukan penyelesaian menyeluruh bagi menjamin keselamatan penduduk serta infrastruktur setempat.

Banjir Kilat, Hakisan Sungai Perlukan Penyelesaian Menyeluruh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dua kejadian banjir kilat yang berlaku di pekan Saratok dan Perumahan Desa Damai pada September lalu, selain masalah hakisan tebing sungai di tiga lokasi sekitar Kalaka, memerlukan penyelesaian menyeluruh bagi menjamin keselamatan penduduk serta infrastruktur setempat.

ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, kejadian banjir kilat pada 15 dan 27 September lalu menunjukkan keperluan untuk menilai semula keupayaan sistem perparitan sedia ada, khususnya ketika hujan lebat.

Menurutnya, berdasarkan maklumat penilaian teknikal yang dikemukakan, kapasiti sistem perparitan dalaman yang tidak mencukupi dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kejadian berkenaan.

“Penyelesaian tidak boleh hanya tertumpu pada pembesaran saluran utama. Sistem perparitan dalaman juga perlu dinilai dan dinaik taraf supaya keseluruhan rangkaian saliran dapat berfungsi dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad turut membangkitkan masalah hakisan tebing Sungai Krian di Kampung Melango dan Kampung Hilir Kupang, selain hakisan tebing Sungai Seblak berhampiran Kampung Melayu Roban.

Menurutnya, hakisan di Kampung Melango berlaku sejak 2015, melibatkan kawasan dari Kampung Pagan hingga ke anak Sungai Melango, manakala masalah sama di Kampung Hilir Kupang dilaporkan sejak April 2024 dan dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk kerana jalan kampung terletak berhampiran kawasan terjejas.

“Hakisan tebing Sungai Seblak berhampiran Kampung Melayu Roban juga berpotensi menjejaskan kestabilan tanah dan infrastruktur berhampiran, khususnya ketika musim hujan serta apabila paras air sungai meningkat.

“Saya memohon supaya jabatan teknikal berkaitan menjalankan penilaian terperinci di ketiga-tiga lokasi bagi menentukan tahap risiko dan langkah mitigasi yang bersesuaian, termasuk pembinaan struktur perlindungan tebing serta pengukuhan cerun,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan menjelaskan status terkini projek naik taraf Jalan Kampung Paloh, Kabong yang terdedah kepada kerosakan akibat air pasang besar dan hakisan, termasuk status kelulusan, peruntukan serta jadual pelaksanaannya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa projek Jalan Kupang–Simpang Bajau sedang dilaksanakan, manakala proses tender bagi projek Jambatan Krian 2 di Tanjung Kalimah telah ditutup pada 30 September 2026.

Beliau turut menyambut baik pembangunan Waterfront Pekan Saratok yang diluluskan dengan peruntukan RM101 juta, selain pelaksanaan projek pembangunan luar bandar melibatkan pembinaan dan penaiktarafan jalan ban serta pintu air, pemasangan lampu solar, penaiktarafan jalan pertanian, sambungan grid elektrik dan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU