JOHANNESBURG: Dua lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam insiden tembakan di Katlehong, tenggara Johannesburg pada petang Selasa, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan polis, kejadian berlaku ketika mangsa sedang meninggalkan Sekolah Rendah Mogobeng di Katlehong North sebelum seorang lelaki bertindak melepaskan tembakan ke arah mereka.
“Dua lelaki berusia 23 dan 21 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lima lagi mangsa berusia antara 12 hingga 27 tahun mengalami kecederaan akibat tembakan dan dibawa ke hospital untuk rawatan,” menurut kenyataan itu.
Suspek kemudian menyerah diri kepada polis dan kini berada dalam tahanan.
Polis memaklumkan bahawa kes berkenaan, yang melibatkan tuduhan membunuh dan cubaan membunuh, kini dikendalikan oleh Pasukan Petugas Pembunuhan Bermotif Politik Gauteng untuk siasatan lanjut. – BERNAMA-XINHUA



