KUCHING: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Miri mencatatkan penurunan setakat kemas kini pada jam 8 malam.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), hanya satu PPS masih beroperasi di negeri ini, iaitu PPS Dewan Serbaguna SMK Berkenu.
“Ketika ini, PPS berkenaan menempatkan seramai 313 mangsa daripada 100 Ketua Isi Rumah (KIR),” katanya dalam satu kenyataan.
Sekretariat itu turut memaklumkan bahawa, dalam perkembangan sama, seramai sembilan KIR melibatkan 19 mangsa telah meninggalkan PPS selepas mendaftar keluar pada jam 6.45 petang berikutan keadaan banjir yang semakin surut.
Secara keseluruhan, katanya, trend pemindahan mangsa menunjukkan penurunan.
“Pada masa sama, pihak berkuasa terus memantau situasi semasa dan menasihatkan penduduk terjejas supaya kekal berwaspada serta mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan,” katanya.



