ARTIKEL

Sim Kiang Chiok

Bank baharu milik Sarawak bakal sokong industri perumahan tempatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bank baharu milik Sarawak bakal memainkan peranan penting dalam menyokong industri perumahan tempatan serta menangani keperluan pembiayaan rumah.

Penasihat Persatuan Pemaju Estet Perumahan Sarawak (SHEDA), Datuk Sim Kiang Chiok berkata, Kerajaan Sarawak mengambil langkah yang bijak bagi mengambil alih pegangan majoriti dalam bank perdagangan itu.

Katanya, ini kerana ia bakal memacu perniagaan tempatan dan industri perumahan, di samping menawarkan kelebihan yang memenuhi keperluan ekonomi dan pembangunan negeri.

“Sejak krisis mata wang negara 1998, semua bank Sarawak telah bergabung dengan bank Malaya bagi mengurangkan bilangan bank di Malaysia kepada kira-kira 10 institusi utama.

“Penyatuan sedemikian bertujuan bagi meningkatkan daya tahan bank terhadap kemelesetan ekonomi masa depan, namun ia sering menyebabkan perniagaan tempatan diabaikan.

“Ini kerana pembuatan keputusan berpusat di Kuala Lumpur sering menyebabkan perniagaan tempatan kita terabai kerana pinjaman di Semenanjung Malaysia lebih cenderung membawa keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mendedahkan bahawa antara isu yang sering dihadapi adalah mengenai proses kelulusan pinjaman perumahan dan pengeluaran dana.

“Pinjaman perumahan kebiasaannya boleh diluluskan dengan cepat sekiranya pemohon memenuhi kriteria yang diperlukan, namun pengeluaran dana mungkin mengambil masa sehingga tiga bulan selepas kelulusan disebabkan proses dokumentasi.

“Proses kelulusan pinjaman setiap bank adalah berbeza, dan selalunya berpusat di ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur atau dibahagikan antara Malaysia Timur dan Barat sehingga menyebabkan kapasiti kelulusan terhad di cawangan serantau.

“Sebagai pemaju, keperluan kewangan kami berbeza daripada keperluan bank yang lebih besar, dan kami memerlukan penyelesaian kewangan yang lebih fleksibel dan tempoh bayaran balik yang lebih lama.

“Sehubungan itu, kami berharap bank tempatan yang baharu itu nanti akan memenuhi keperluan kami,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa bank milik kerajaan negeri itu nanti perlu menyediakan penyelesaian kewangan yang memudahkan kemajuan ke arah menjadi sebuah negeri maju, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Jelasnya, ia termasuk menawarkan kelulusan yang lebih cepat dan meletakkan syarat pinjaman yang lebih realistik.

Sim turut berharap agar bank milik Sarawak itu akan lebih selaras dengan keperluan pinjaman tempatan sama ada untuk pembiayaan akhir pembelian rumah atau pinjaman penyambung untuk pemaju.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU