Bantu pelajar amal jarak sosial

BINTULU: Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip dan isteri Datin Dr Zaliha Abdullah menyantuni pelajar dan guru SMK Baru Bintulu bagi melihat sendiri senario sesi persekolahan di sekolah terbabit semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam lawatan singkatnya yang disertai Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Radin Poji dan pemangku Pengetua SMK Baru Albariah, Talib turut mendengar taklimat ringkas mengenai persediaan dan pelaksanaan sesi persekolahan mengikut SOP.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau menyeru ibu bapa supaya sentiasa mengingatkan anak-anak mereka untuk mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan sentiasa membersihkan tangan bagi mengelak jangkitan atau penularan wabak Covid19.

Adun Jepak itu kemudian menyerahkan sumbangan pelitup muka dan cecair pembersih tangan kepada pihak sekolah disusuli sumbangan Sabati yang disampaikan oleh Dr Zaliha.

Beliau berharap sumbangan pelitup muka dan cecair pembersih tangan dapat memastikan pelajar mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Albariah bersyukur dan berterima kasih kepada Talib dan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jepak yang menghulurkan sumbangan tersebut untuk kegunaan pelajar dan kakitangan di sekolah berkenaan.

“Dengan adanya sumbangan bahan ini, ia akan dapat membantu meringankan bebanan pihak sekolah dan ini sangat diperlukan dalam sesi persekolahan secara kelaziman baharu ketika ini,” tambahnya.

Suara Sarawak