JULAU: Usaha membantu rakyat dan membawa pembangunan ke kawasan Parlimen Julau akan terus diperkukuh tanpa mengira perbezaan politik, termasuk melalui bantuan secara langsung dan pendekatan akar umbi kepada komuniti.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata perkara itu ditekankan semasa Program ‘Begulai enggai Rayat’ di Rumah Selina, Sungai Tapang, yang menyaksikan peruntukan sebanyak RM56,000 disalurkan bagi memenuhi pelbagai keperluan komuniti, termasuk kerja-kerja naik taraf kampung, penyediaan peralatan JKKK, serta aktiviti Biro Wanita dan PIBG.
Beliau berkata khidmat bakti kepada masyarakat merupakan aktiviti berterusan yang dilaksanakan setiap tahun, selain menyokong pelbagai inisiatif dan program Kerajaan Sarawak yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Walaupun saya bukan sebahagian daripada Kerajaan Negeri, ia tidak menghalang saya untuk terus membantu dan bekerjasama demi kesejahteraan komuniti, memandangkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak kini bekerjasama dalam membangunkan negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dalam usaha membantu rakyat, perbezaan ideologi tidak seharusnya menjadi penghalang kerana perkara paling utama ialah memahami keperluan rakyat, menyelesaikan masalah mereka, serta meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Antara penerima bantuan ialah Rumah Selina ak Michael Kendawang di Sungai Tapang Bayong bagi pemasangan jubin (mosaik) rumah, manakala Rumah Empin ak Assom di Sungai Bayong menerima bantuan untuk kerja-kerja menyimen jalan di hadapan rumah panjang.
Rumah Janda di Sungai Tapang turut menerima bantuan bagi pemasangan bumbung anjung (awning) di hadapan rumah panjang, sementara Rumah Augustine Bruwin di Sungai Gerugu menerima dana untuk pembelian meja dan bangku bagi kegunaan JKKK.
Selain itu, Biro Wanita Rumah Selina dan Biro Wanita Rumah Augustine Bruwin turut menerima bantuan.
Bantuan juga disalurkan kepada PIBG SK Ulu Binatang bagi program lawatan yang dijadualkan pada Oktober 2026.
Beliau berkata sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan keperluan komuniti di kawasan Julau, khususnya di kawasan luar bandar, sentiasa diberi perhatian.
Beliau juga berharap orang ramai akan terus menghargai semangat dan kerjasama kerajaan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan demi manfaat masyarakat.


