KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan cadangan untuk mengembangkan Skim Bantuan Bayaran Balik (HDRAS), selaras dengan pengumumuman inisiatif deposit MADANI.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, beliau akan menyampaikan perkara itu kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk dibincang secara holistik termasuk pembayaran levi oleh pemaju.
“Ketika ini kita mempunyai 800,000 lebih rumah di Sarawak. Hanya 700,00 yang didiami.
“Jadi ini bermakna tiada ketidakpadanan berlaku kerana migrasi luar bandar ke bandar,” katanya berucap pada pelancaran Ekspo Hartanah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Inisiatif deposit MADANI yang dicadangkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada bajet 2025 yang bertujuan untuk menyediakan bantuan deposit sehingga RM30,000 untuk pembeli rumah kali pertama dalam kumpulan B40 dan M40.
Terdahulu, President SHEDA Augustine Wong dalam ucapannya menggesa Kerajaan Sarawak untuk mengembangkan Skim HDRAS, selaras dengan inisiatif deposit MADANI.
Beliau turut menggariskan beberapa cadangan untuk melengkapi inisiatif deposit MADANI seperti meningkatkan ambang pendapatan isi rumah kepada RM15,000.00 sebulan.
Di samping itu tambahnya, beliau turut mencadangkan kerajaan untuk meningkatkan bantuan kewangan HDRAS kepada 10 peratus daripada harga SPA daripada RM10,000 ketika ini.
Selain itu membenarkan pembeli menggunakan geran HDRAS untuk membeli sebarang hartanah daripada
pasaran terbuka, selagi pemohon layak.
“Kami amat percaya bahawa cadangan di atas akan menjana impak ekonomi yang positif mengenai kemampuan perumahan, dengan itu menggalakkan kemampanan,” katanya.


