KABONG: Seramai 11 penerima layak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong menerima sumbangan kebajikan dan pendidikan secara sekali sahaja (one-off) pada Khamis.
ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, inisiatif ini merupakan usaha berterusan pihaknya untuk meringankan beban golongan yang memerlukan di kawasan tersebut.
“Hari ini, kita berjaya menyerahkan sumbangan kebajikan dan pendidikan kepada 11 penerima yang layak di Kabong.
Sumbangan ini diberikan sepanjang tahun dan disalurkan secara sekali sahaja kepada individu yang memenuhi kriteria kelayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut berharap agar bantuan yang diberikan dapat menjadi pemangkin semangat kepada penerima untuk terus berusaha ke arah kehidupan yang lebih baik.
Setiap penerima menerima bantuan berbentuk wang tunai antara RM200 hingga RM250, mengikut keperluan masing-masing.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut berlangsung secara ringkas dan dilakukan secara ziarah dari rumah ke rumah. Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda PBB Kabong, Bendahari Pergerakan Pemuda PBB Kabong dan Pegawai Tadbir Khas ADUN Kabong, Nur Elffi Amir yang mewakili Dato Mohd Chee Kadir. — TVS


