KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal menyalurkan bantuan kewangan khas kepada pelajar-pelajar Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Malaysia, dengan setiap pelajar menerima wang saku berjumlah RM1,200 pada tahun 2025.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 25,000 pelajar Sarawak daripada keluarga berpendapatan rendah, iaitu yang mempunyai pendapatan per kapita isi rumah RM1,500 atau ke bawah setiap bulan.
“Wang ini bertujuan membantu pelajar membiayai keperluan asas seperti makanan dan barangan penting, sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup mereka.
“Di bawah Belanjawan Negeri 2025, sejumlah RM30 juta telah diperuntukkan untuk tujuan ini,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 dalam Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) yang ke-19, di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, kerajaan Sarawak juga akan meneruskan inisiatif dalam memberikan baucer buku dan komputer riba percuma untuk pelajar Sarawak di IPTA dan IPTS dari isi rumah dengan pendapatan per kapita RM1,500 sebulan ke bawah untuk tahun hadapan.
“Sebagai Kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, kami mengiktiraf keperluan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, terutamanya dalam menanggung kos pendidikan anak-anak mereka.
“Oleh itu, menerusi Belanjawan 2025, inisiatif yang akan diteruskan pada 2025 adalah pemberian baucer buku RM500 yang menelan belanja sebanyak RM2 juta dan komputer riba percuma dengan peruntukan sebanyak RM30.5 juta tahun depan, memberi manfaat kepada 10,166 pelajar,” jelasnya.
Abang Johari juga mendedahkan bahawa peruntukan sebanyak RM15 juta akan disediakan bagi tahun 2025 sebagai bantuan kepada graduan Sarawak untuk membayar balik pinjaman PTPTN mereka.
Katanya, diskaun pembayaran balik sebanyak 30 peratus akan diberikan sebagai insentif untuk penyelesaian penuh baki pinjaman.
“Sejak insentif ini diperkenalkan pada 2021, seramai 31,706 peminjam telah mendapat manfaat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM116.57 juta.
“Pada 2024, terdapat 5,419 peminjam yang layak dengan jumlah bantuan kewangan RM26.15 juta. Pada 2025, peruntukan sebanyak RM15 juta akan disediakan untuk tujuan ini,” ujarnya.


