Bantuan makanan  selesai sepenuhnya

KUCHING: Pengagihan bantuan bekalan makanan Covid19 selesai sepenuhnya dengan 380,568 ketua isi rumah mendapat manfaat daripadanya.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, satu kajian dilakukan secara manual dan atas talian bagi meninjau kesan bantuan berkenaan kepada penerimanya bermula 20 hingga 28 April.

“Seramai 11,658 penerima bantuan makanan dari semua 12 bahagian dan 31 daerah menyertai kaji selidik tersebut.

“Hasilnya, 93 peratus penerima menghargai bantuan makanan yang disalurkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Fatimah yang juga Ahli Jawatankuasa Operasi Covid-19 menambah, input kualitatif daripada seorang penerima mengenai bantuan makanan sebagai “penyelamat keperluan asas sebelum menerima bantuan lain yang disediakan oleh kerajaan”.

“Sebanyak 84.6 peratus penerima berasakan BKSS tiba tepat pada masanya ketika saat keluarga sangat memerlukan.

“Selain itu, sebanyak 83 peratus penerima berasa lega dengan bantuan berkenaan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, 81 peratus penerima pula berpendapat pengagihan makanan dibuat dengan adil.

“Malah, 80 peratus berpendapat pengagihan makanan dibuat dengan teratur manakala 75.8 peratus pula menyatakan bekalan yang diterima menepati keperluan makanan asas keluarga.

“Makanan asas yang diagihkan ialah beras, gula, tepung, minyak masak, kopi, teh dan biskut yang diterima daripada ahli parlimen, Adun, Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Tabung Baitulmal Sarawak, badan bukan kerajaan (NGO) serta badan korporat,” ujarnya.

Kata Fatimah, bantuan daripada Kerajaan Persekutuan pula adalah seperti Nadma dan Yakin, yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Sarawak serta dikoordinasi oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian.

“Sekiranya terdapat keluarga atau individu yang memerlukan bantuan lebih, boleh menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian atau JKM Bahagian masing-masing.

“Bantuan makanan terbabit diagihkan dalam tempoh interim apabila Prihatin Nasional dan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) belum diperolehi oleh rakyat terutamanya golongan B40,” katanya.

Ujarnya, inisiatif berkenaan adalah untuk memastikan setiap rakyat yang kurang berkemampuan mempunyai makanan asas di atas meja.

Suara Sarawak