KUCHING: Aksi Derbi Borneo di antara Kuching City FC (KC FC) menentang Sabah FC jelas sengit biarpun perlawanan dimenangi pasukan pelawat kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dengan keputusan 2-1.
Usaha pasukan tuan rumah bangkit untuk menebus kekalahan lalu ketika menentang Selangor tidak kesampaian selepas menerima kekalahan kedua di laman sendiri, semalam.
Namun kekalahan tipis dalam perlawanan itu menyaksikan anak-anak buah Irfan Bakti dilihat tampil dengan aksi yang lebih bertenaga di samping mempamerkan lebih keserasian hasil rombakan baharu pada kesebelasan utama.

Penolong Ketua Jurulatih KC FC, Sulaiman Hussin mengakui mereka bagaimanapun akur dengan kekuatan dimiliki Sabah baik dari segi barisan pemain tempatan mahu pun import.
Jelas beliau, jurang tipis jaringan hanya disebabkan Sabah menggunakan peluang menjaringkan gol dengan baik berbanding pemain mereka yang tidak memanfaatkan beberapa peluang di hadapan gawang lawan.
“Sabah dapat dua peluang, dan mereka gunakan dua peluang itu dengan baik (sehingga menjadi gol) manakala kami ada beberapa peluang tapi tidak digunakan sebaik mungkin.
“Pada saya, faktor padang tidak patut digunakan sebagai alasan punca permainan tidak baik dan kami terima kekalahan pada perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan semalam.
Mengulas mengenai pemain, Sulaiman mengakui bangga terhadap peningkatan persembahan ditunjukkan anak-anak buahnya dalam perlawanan tersebut.
“Walaupun kalah, terdapat benda-benda positif kita terima. Misalnya Yuki Tanigawa setelah sekian lama hampir tiga bulan tidak bermain dan Badrul affendy dapat mempamerkan aksi dengan baik.
“Untuk penampilan pertama Julian Schwarzer Garcia saya rasa beliau masih belum dan tidak terlalu teruji sepenuhnya dalam perlawanan tersebut,” ujarnya.

