ARTIKEL

Perayu dibawa keluar dari Mahkamah Persekutuan oleh pegawai penjara.

Bapa bunuh bayi OKU kekal hukuman mati

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini, mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bapa durjana atas sabitan membunuh bayi lelakinya berusia dua bulan yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan menghempas badan mangsa ke atas sofa, sembilan tahun lalu.

Perayu dibawa keluar dari Mahkamah Persekutuan oleh pegawai penjara.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azizah Nawawi dalam keputusan sebulat suara mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap Vincent Marcos, 39, selepas menolak rayuan akhirnya terhadap hukuman.

“Setelah mempertimbangkan dengan teliti bukti yang mencukupi, kami berpuas hati bahawa hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi hendaklah dikekalkan.

“Kesalahan yang dilakukan oleh perayu itu ialah membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kesalahan yang paling berat. Mangsa merupakan bayi yang berusia dua bulan dan sangat rapuh.

“Perayu sebagai bapa seharusnya menjaga dan melindungi bayi tersebut tetapi memilih melaku melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan,” katanya menyampaikan keputusan dalam keadaan sebak dan menangis serta memohon maaf dengan situasi tersebut.

Dua panel hakim yang lain ialah Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Azimah Omar.

Pada 2 Ogos 2018, Mahkamah Tinggi Bintulu menjatuhkan hukuman mati terhadap perayu selepas didapati bersalah membunuh bayinya di sebuah bilik kuarter pekerja di sebuah Universiti Awam di Bintulu, antara jam 7.00 petang hingga 10.00 malam, 28 April 2016.

Vincent kemudian merayu terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan pada 26 April 2022 mengekalkan sabitan serta hukuman.

Semasa rayuan kes, Peguambela lantikan mahkamah Louis Jarau yang mewakili perayu memberitahu mahkamah, bahawa pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi pengecualian hukuman mati sejajar Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

Namun demikian, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz memohon agar hukuman mati dikenakan keatas perayu adalah wajar dan tidak boleh digantikan dengan tempoh pemenjaraan semata-mata.

“Fakta kes jelas menunjukkan bahawa si mati adalah seorang bayi berusia dua bulan yang rapuh dan terdedah yang benar-benar tidak mempunyai apa-apa cara untuk melakukan apa-apa telah dikenakan tindakan ganas yang kejam, dan tanpa belas kasihan daripada Perayu yang tidak berhati perut tanpa rasa kesal mengangkat si mati dan menghempaskan di atas sofa yang akhirnya menyebabkan kematian.

“Hukuman mati harus dikenakan kerana perayu tidak menunjukkan belas kasihan terhadap bayi yang tidak berdaya.

“Justeru itu, mengapa kita harus memberikan belas kasihan terhadap perayu?,” tegasnya dalam hujahan.

Kronologi kejadian bunuh

Perayu adalah bapa kandung si mati bekerja sebagai penolong pegawai di sebuah universiti awam itu telah mendapat hak penjagaan bayi selepas bercerai dengan isterinya.

Kemudian, dia berkahwin baru dengan wanita lain lalu menjaga bayi tersebut.

Semasa awal perkahwinan, semuanya masih normal hinggalah bekas isteri perayu menziarahi bayi mereka.

Seminggu selepas lawatan tersebut, sikap perayu mula berubah dengan mengunci pintu masuk rumah kerana bimbang bekas isterinya datang berkunjung semula dan membawa lari bayi berkenaan.

Selain itu, perayu juga menyangka isteri barunya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain hingga menyebabkan pertengkaran sering terjadi.

Sekitar bulan Mac 2016, semasa Vincent pergi bekerja, isteri perayu melihat kaki si mati bengkak.

Kemudian, isterinya teringat semasa dia mencuci pakaian tiba-tiba terdengar bunyi orang memukul sesuatu dan si mati menangis.

Isteri perayu mengajak perayu menghantar bayi tersebut ke klinik untuk mendapatkan rawatan tetapi dia enggan diajak ke klinik.

Malah, perayu lebih memilih membawa pergi ke bomoh untuk mendapatkan rawatan.

Pada 28 April 2016, isteri perayu memohon agar membawa bayi tersebut ke klinik kerana tidak sihat tetapi tidak diperdulikan perayu.

Sebaliknya, mereka bertengkar kerana menyangka isterinya curang dan menggugut hendak menghempaskan bayi tersebut sambil memegang kaki bayi dalam keadaan kepala ke bawah.

Isteri perayu menjerit menangis sekuat hati merayu agar tidak berbuat demikian terhadap bayi tersebut.

Kemudian, isteri perayu lalu berlari masuk ke bilik sambil menjerit dan menangis.

Manakala, perayu yang menjadi gelisah dan sekali lagi dia memegang dan mengangkat kaki si mati tinggi-tinggi dengan kepala si mati ke bawah, kemudian menghempas si mati ke arah kerusi sofa tanpa belas kasihan.

Isteri perayu kemudian memberitahu Perayu supaya membawa bayi tersebut segera ke hospital tetapi Perayu tidak berkata sepatah dan bersikap tenang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Selepas itu, si mati ditinggalkan di atas kerusi sofa tanpa sebarang perhatian.

Pada keesokkan harinya, isteri perayu bangun melihat banyak semut berkerumun di atas mayat bayi itu.

Perayu sempat mengambil si mati dan memandikannya dan membawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Namun, hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam lalu.

Laporan perubatan bedah siasat mendedahkan bayi tersebut mengalami kecederaan di kepala seperti pendarahan subdural, edema otak serta kontusi yang konsisten dengan hentakan kuat pada permukaan tumpul.

Pemeriksaan turut menemui beberapa kecederaan lama pada tulang rusuk, klavikel dan femur, yang menurut pakar berlaku dalam tempoh beberapa minggu sebelum kematian dan selari dengan penderaan berulang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU