BAPA penyanyi popular Khai Bahar, Baharuddin Bakri disahkan meninggal dunia pada Jumaat.
Berita duka itu dikongsikan sendiri oleh Khai menerusi hantaran di Instagram Story yang turut memohon doa agar roh ayahandanya dicucuri rahmat Allah.
“Takziah buat keluarga Khai Bahar dan Kyra Bahar atas pemergian ayahanda mereka.
Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah, diampunkan segala dosa, dan ditempatkan bersama orang beriman,” tulis Khai ringkas.
Sementara itu, pengurus kepada pelantun lagu Luluh itu, Jai, mengesahkan pemergian Allahyarham Baharuddin.
“Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan bahawa Pak Bahar, ayah kepada Khai Bahar, telah kembali ke rahmatullah di Hospital Tunku Fauziah, Kangar sekitar jam 9.30 malam pada 19 September 2025 akibat penyakit kencing manis, strok, dan kegagalan buah pinggang,” katanya.
Menurutnya lagi, jenazah Allahyarham dimandikan dan dikafankan di Masjid Al-Arifin, Padang Katong, Perlis. Solat jenazah dilaksanakan selepas solat zuhur di masjid yang sama sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka.



