KUCHING: Perkhidmatan Bas.My Kuching memperluas jaringan pengangkutan awamnya di bandar raya ini dengan pengenalan laluan baharu yang menghubungkan Stesen Bas Saujana ke SMK Agama Matang 2.
Laluan yang memulakan operasinya semalam melibatkan enam buah bas baharu mesra OKU, meliputi jarak sejauh 25.8km dengan 36 perhentian bas.
Menurut Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Michael Kong Feng Nian, ia menjadikan jumlah keseluruhan laluan aktif harian meningkat kepada lapan.
“Pengenalan laluan ini disambut baik oleh penduduk dan warga pendidik di sekitar kawasan Matang kerana ia direka khusus untuk memenuhi keperluan perjalanan harian pelajar, guru dan komuniti setempat.
“Laluan baharu ini merangkumi beberapa institusi pendidikan utama termasuk SJK Chung Hua Batu 7, SK Matang, SMK Sri Matang, Kolej Vokasional Matang, SMK Petra Jaya, SMK Agama Matang 2 serta Politeknik Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan pengoperasian laluan kelapan BAS.MY Kuching yang melibatkan laluan Saujana – SMK Agama Matang 2 bermula dari perhentian bas Kolej Vokasional Matang, hari ini.

“Laluan ini juga memberi manfaat kepada ribuan penduduk di kawasan perumahan utama seperti Taman Suria Jaya, Taman Heng Guan, Taman Palma Indah dan Taman Sri Harmony.
“Paling penting, ia turut diperluas ke kawasan Kampung Matang, Kampung Matang Lot dan Kampung Matang Batu bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada kemudahan ini,” ujarnya.
Tambahnya, inisiatif itu selaras dengan komitmen berterusan Bas.My Kuching dalam membina sistem pengangkutan awam yang inklusif, cekap dan menyeluruh bagi seluruh warga Kuching.
“Ia juga merupakan satu langkah penting ke arah pembangunan bandar raya yang lebih mampan dan bersambungan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu inisiatif itu turut melancarkan aplikasi mudah alih Kuching Journey Planner yang kini berada dalam fasa Beta.
“Aplikasi ini direka untuk membantu pengguna merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah dan pintar.
“Orang ramai digalakkan untuk mencuba aplikasi ini serta memberi maklum balas bagi tujuan penambahbaikan berterusan.
“Kami percaya bahawa pengangkutan awam mesti berkembang seiring dengan keperluan rakyat. Setiap laluan baharu membawa kita lebih dekat ke arah Kuching yang lebih terhubung dan mudah diakses oleh semua,” tambahnya.
Manakala jadual perjalanan bas tersebut bermula dari jam 5.30 pagi hingga 7.30
malam, pada hari Isnin hingga Jumaat dengan kekerapan setiap 1 jam serta setiap 30
minit pada waktu puncak.

Pada hari Sabtu dan Ahad pula, perjalanan bas bermula dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam. Orang ramai boleh merujuk jadual perjalanan bas yang dikongsikan melalui Facebook rasmi LPKP Sarawak dan BAS.MY Kuching.
Kadar tambang yang dikenakan adalah bermula dari RM0.90 hingga RM3.30 berdasarkan jarak laluan bas dan pembayaran tambang adalah menggunakan kad debit, kad kredit, e-wallet serta wang tunai.
BAS.MY Kuching turut menyediakan kemudahan tambang percuma bagi golongan kurang upaya, warga emas, pelajar sekolah dan mahasiswa yang merupakan warganegara Malaysia dengan menggunakan Kad Konsesi BAS.MY.
Manakala warganegara Malaysia yang lain pula digalakkan menggunakan kemudahan pas 30 hari dengan harga RM50 yang boleh digunakan tanpa had selama 30 hari di mana-mana laluan.

