SHAH ALAM: Selepas membenam wakil Kazakhstan, Dmitriy Panarin, dengan mudah pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 pada Rabu, Lee Zii Jia bersedia mendepani cabaran lebih sukar daripada wakil Taiwan, Lin Chun Yi, pada hari ini.
Pada aksi kedua Kumpulan B di Pusat Konvensyen Setia City di sini, pemain perseorangan profesional negara ranking ke-10 dunia itu mudah mengatasi Dmitriy 21-11, 21-10 dalam masa 23 minit untuk memberi mata pertama buat Malaysia.
Namun, Zii Jia, yang direhatkan ketika kemenangan 5-0 pada aksi sulung ke atas Brunei pada Selasa lepas, mengakui bahawa cabaran lebih besar bakal hadir pada aksi terakhir kumpulan bertemu Taiwan, jika dia dan Chun Yi diturunkan oleh barisan kejurulatihan masing-masing.
Zii Jia, 25, yang kalah mengejut kepada Chun Yi pada pusingan kedua Malaysia Masters 2023, berkata dia sedia mencabar pemain di kedudukan ke-21 dunia itu dengan rekod pertemuan terikat 1-1.
Zii Jia menewaskan pemain itu pada Masters Indonesia, Januari tahun lepas.
“Secara jujur, persembahan Chun Yi meningkat sejak dua tahun kebelakangan ini dan sudah pasti perlawanan sengit esok (Khamis),” katanya.
“Rutin saya, biasa memanaskan badan pada perlawanan pertama sebelum menghadapi perlawanan sukar. Atas kertas, pasukan Malaysia dan Taiwan seimbang tetapi kita memiliki kelebihan dengan bekas juara dunia, beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, “ katanya kepada pemberita selepas aksi berkenaan.
Mengulas mengenai perkembangan pemain perseorangan lelaki di Taiwan, yang tidak lagi bergantung kepada Chou Tien Chen sahaja, Zii Jia berkata Malaysia juga menunjukkan peningkatan apabila prestasi Ng Te Yong dan Leong Jun Hao semakin baik untuk mengurangkan kebergantungan kepada Tien Chen.
Sementara itu, Zii Jia menjelaskan bahawa peminat tidak boleh mengharapkan peningkatan prestasi yang mendadak daripadanya selepas latihan 10 hari bersama skuad kebangsaan Korea Selatan baru-baru ini.
“Memang 10 hari sahaja, tak boleh meningkat banyak. Saya pergi sana untuk lihat sesuatu berbeza.
“Ia adalah peluang baik untuk belajar sesuatu seperti budaya kerja dan rutin mereka, itu sahaja. Kalau nak kata kemahiran, nak cakap prestasi saya tiba-tiba bagus, tak mungkin,” katanya. – BERNAMA

