KUCHING: Penduduk Bintulu bakal menikmati kemudahan perjalanan udara yang lebih baik apabila Batik Air menambah satu penerbangan harian bagi laluan Bintulu–Kuala Lumpur mulai 20 Julai ini, menjadikan keseluruhan kekerapan penerbangan kepada dua kali sehari.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata usaha itu dilaksanakan bagi menangani kebimbangan orang ramai mengenai harga tambang penerbangan dan ketersediaan penerbangan melibatkan laluan tersebut.
“Justeru, hasil komunikasi dan penyelarasan aktif dengan syarikat penerbangan, Batik Air mengesahkan akan menambah satu penerbangan harian baharu bagi laluan Bintulu–Kuala Lumpur bermula 20 Julai ini.
“Dengan penambahan tersebut, laluan ini akan menawarkan dua penerbangan setiap hari sekali gus memberikan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada para penumpang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Mengikut jadual baharu, jadual penerbangan harian Batik Air yang dikemas kini bagi laluan Kuala Lumpur–Bintulu adalah pada 10 pagi dan 2.30 petang, manakala bagi laluan Bintulu–Kuala Lumpur pula pada 1.10 dan 5.40 petang.
Mengulas lanjut, tambahnya, pengurangan jumlah penerbangan secara mengejut serta kenaikan mendadak tambang sebelum ini telah menimbulkan pelbagai maklum balas daripada orang ramai.
“Pada asalnya, saya menggesa supaya dua penerbangan harian tambahan diwujudkan. Namun, selepas rundingan, syarikat penerbangan bersetuju untuk melaksanakan satu penerbangan harian tambahan secara tetap terlebih dahulu dengan kapasiti dan slot masa yang bersesuaian.
“Sekiranya permintaan penumpang terus meningkat pada masa hadapan, kemungkinan untuk menambah satu lagi penerbangan akan dinilai sekali gus berpotensi meningkatkan kekerapan penerbangan kepada tiga kali sehari,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, seiring dengan perkembangan ekonomi Bintulu yang semakin pesat, permintaan bagi perjalanan urusan perniagaan, pendidikan, rawatan perubatan dan pelancongan turut meningkat secara berterusan.
Katanya, beliau juga telah menyampaikan secara langsung kepada pihak syarikat penerbangan mengenai keperluan masyarakat terhadap jumlah penerbangan yang mencukupi serta tambang berpatutan dan mereka telah memberikan maklum balas yang positif.
“Disebabkan itu, saya juga menggesa syarikat penerbangan agar memastikan kestabilan perkhidmatan penerbangan terus terpelihara walaupun kekerapan penerbangan ditingkatkan.
“Kita perlu mengelakkan pembatalan penerbangan yang kerap atau perubahan jadual pada saat akhir yang boleh menjejaskan perancangan perjalanan penumpang,” tegasnya.
Dalam proses penyelarasan itu, Tiong memberitahu, beliau turut mencadangkan supaya tambang penerbangan dikekalkan pada kadar yang munasabah selagi keadaan pasaran mengizinkan.
Menurutnya, langkah ini penting bagi mengurangkan beban kewangan rakyat yang berulang-alik antara kedua-dua destinasi serta mengelakkan tambang yang tinggi menjadi beban berpanjangan.
“Saya yakin, apabila harga tiket semakin stabil, ia akan membantu meningkatkan jumlah penumpang dan mewujudkan situasi yang menguntungkan kedua-dua pihak, iaitu syarikat penerbangan dan pengguna.
“Saya ingin menegaskan bahawa usaha menambah baik perkhidmatan penerbangan memerlukan kerjasama yang pragmatik antara kerajaan, syarikat penerbangan dengan pihak berkuasa berkaitan.
“Ia tidak boleh dicapai dalam sekelip mata. Apa yang paling penting ialah pelaksanaan yang berkesan supaya rakyat benar-benar dapat merasai manfaatnya, bukan sekadar mendengar janji,” katanya lagi.
Beliau memaklumkan, keutamaan rakyat ialah mempunyai lebih banyak pilihan penerbangan serta tambang yang kekal pada kadar berpatutan.
“Penambahan penerbangan ini bukan sahaja membantu mengurangkan kekurangan kapasiti sedia ada, malah memudahkan penduduk Bintulu melakukan perjalanan ke Semenanjung Malaysia dan destinasi domestik lain bagi memenuhi keperluan perjalanan yang semakin meningkat,” ujarnya lagi.



