ARTIKEL

Sim Kiang (ketiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada ahli Persatuan KATSN yang terlibat pada Bazar Krismas Barangan Kreatif di Farley Kuching, di sini, hari ini.

Bazar Krismas serlah bakat tersembunyi komuniti istimewa Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Senyuman dan semangat anak-anak serta dewasa berkeperluan khas menceriakan suasana di Farley Kuching sempena Bazar Krismas Barangan Kreatif anjuran Persatuan Pembangunan Bakat dan Kebajikan Orang Berkeperluan Khas Kuching (KATSN).

Bazar yang berlangsung dari hari ini hingga 14 Disember itu menghimpunkan pelbagai produk kreatif termasuk barangan buatan tangan, lukisan, beg dan cenderamata hasil ciptaan komuniti berkeperluan khas bagi mempamerkan bakat serta usaha gigih mereka.

Penasihat KATSN, Datuk Sim Kiang Chiok berkata, penganjuran bazar tersebut memberi ruang kepada golongan berkeperluan khas untuk menonjolkan kreativiti di samping membuka peluang menjana pendapatan serta meningkatkan tahap berdikari.

“Kami amat menghargai kemurahan hati, keprihatinan dan kasih sayang pihak Farley terhadap komuniti berkeperluan khas.

“Sokongan mereka mencerminkan komitmen kukuh terhadap Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) selain mewujudkan platform bermakna untuk anak-anak dan dewasa istimewa menyerlah pada musim penuh pemberian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kerjasama antara KATSN dan Farley menandakan permulaan hubungan jangka panjang bagi membangunkan kemahiran lestari dalam kalangan komuniti terbabit, khususnya melalui pemasaran produk kreatif mereka.

“Kami berharap dapat terus memperkukuh kerjasama ini demi mewujudkan sebuah masyarakat Sarawak yang inklusif dan penyayang,” ujarnya.

Sementara itu, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan bazar yang berlangsung selama tiga hari itu serta memberikan sokongan kepada anak-anak dan dewasa berkeperluan khas sepanjang penganjurannya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU