ARTIKEL

Datuk Fazzrudin Abdul Rahman melakukan simbolik menyalakan lampu pelita sebagai tanda perasmian Bazar Ramadan EMART Matang di Kuching, hari ini.

Bazar Ramadan EMART Matang pupuk semangat perpaduan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kehadiran pengunjung daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang membanjiri Bazar Ramadan EMART Matang mencerminkan semangat perpaduan serta kebersamaan yang terus diperkukuh sepanjang bulan Ramadan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata penganjuran bazar tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat setempat, malah berperanan penting sebagai platform membantu peniaga kecil menjana pendapatan sepanjang Ramadan.

Datuk Fazzrudin Abdul Rahman bersama Tan Kai merakam kenangan bersama seorang peniaga di Bazar Ramadan EMART Matang di Kuching, hari ini.

“Kalau tidak silap saya, ini merupakan kali kelima saya melawat Bazar Ramadan EMART Matang dan setiap tahun penganjurannya berjalan dengan baik.

“Ia juga hasil sokongan pelbagai pihak termasuk penaja seperti Nestlé (Maggi) yang turut menjayakan program hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan EMART Matang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengadakan lawatan ke seluruh kawasan bazar dengan mengunjungi kesemua 63 gerai yang beroperasi.

Beliau seterusnya menyampaikan apron dan topi kepada para peniaga sebagai tanda sokongan, dengan setiap gerai menerima apron Nestlé (Maggi) serta apron dan topi eksklusif daripada EMART Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Tan Kai berkata Ramadan merupakan masa terbaik untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Penganjuran bazar ini bukan sahaja dikunjungi umat Islam, malah turut menarik kehadiran pengunjung daripada pelbagai komuniti.

“Semangat kebersamaan ini amat penting dan perpaduan harus sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya.

Selain itu, Pengurus Harta EMART, Lee Leong Peng berkata Bazar Ramadan EMART Matang tahun ini menempatkan sebanyak 63 gerai, dengan 16 daripadanya menjual minuman manakala selebihnya menawarkan pelbagai jenis makanan termasuk juadah bakar.

“Penganjuran tahun ini menandakan lebih 13 tahun EMART Matang menjadi lokasi bazar Ramadan, sekali gus memberi peluang berterusan kepada peniaga untuk berniaga menjelang Aidilfitri,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU