KUCHING: Penganjuran Bazar Ramadan terus menjadi platform penting dalam membantu peniaga tempatan menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan, kata Datuk Ibrahim Baki.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) merangkap ADUN Satok itu berkata, peluang yang disediakan mampu memberi manfaat kepada peniaga kecil-kecilan.

“Menerusi penganjuran bazar sepanjang bulan Ramadan, kita cuba untuk merancakkan ekonomi peniaga kecil-kecilan melalui gerai jualan makanan dan minuman.
“Justeru, kita melihat platform ini sebagai satu wadah yang mampu memberi peluang kepada peniaga mencari nafkah untuk keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Perasmian Bazar Ramadan Satok di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut memuji inisiatif Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengekalkan tradisi tahunan penganjuran bazar di kawasan berkenaan.
“Bazar ini sudah menjadi tradisi kita di Satok untuk memastikan kawasan ini sentiasa ceria dan meriah dengan penganjuran seumpamanya.
“Bahkan, kita dapat menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk pengunjung dari luar negara datang ke sini … suasana ini penting untuk dikekalkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati para peniaga agar memastikan kebersihan sentiasa dijaga sepanjang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan.
“Selain memastikan kebersihan kawasan terjaga, peniaga juga dinasihati agar menetapkan harga makanan secara berpatutan, pada masa sama mengekalkan kualiti makanan yang dijual,” ujarnya.
Sementara, Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Hilmy Othman mendedahkan bahawa pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat pemeriksaan berkala dari masa ke semasa di bazar Ramadan yang beroperasi di Kuching.
“Mereka akan mengambil sampel makanan untuk mengenal pasti sekiranya ada makanan tidak bersih yang menyebabkan keracunan makanan kepada pelanggan,” jelasnya.
Majlis tersebut turut menyaksikan Ibrahim menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 20 penerima golongan asnaf di bawah DUN N8 Satok yang merupakan hasil sumbangan terkumpul daripada pengurusan surau DBKU.
Seusai program, beliau turut berkesempatan mengadakan lawatan ke 108 tapak jualan sambil menyampaikan apron serta topi tajaan Central Coldstorage Kuching (CCK) kepada para peniaga.



