KUCHING: Inisiatif Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dalam menaik taraf taman-taman awam mula menampakkan hasil positif apabila beberapa kawasan rekreasi kini kelihatan lebih ceria, selesa dan meriah dengan pelbagai aktiviti komuniti sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.


Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, penganjuran Bazar TBC di beberapa taman awam bukan sahaja bertujuan memeriahkan perayaan, malah menjadi platform menghidupkan semula fungsi taman sebagai ruang pertemuan masyarakat.
“MBKS mahu taman-taman awam menjadi tempat yang selamat, selesa dan meriah untuk semua lapisan masyarakat, bukan sekadar kawasan riadah biasa,” katanya ketika ditemui di Taman Sahabat, dekat sini malam ini.


Menurut beliau, antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk penambahbaikan sistem pencahayaan, pemasangan lampu hiasan serta penyelenggaraan landskap bagi memastikan persekitaran taman lebih menarik dan mesra pengunjung.
Di Taman Sahabat pula katanya, kerja naik taraf kemudahan awam telah siap sepenuhnya dan menerima sambutan positif daripada orang ramai yang hadir bersama keluarga, terutamanya pada waktu malam.
Wee berkata, pendekatan menggabungkan aktiviti komuniti dengan penambahbaikan infrastruktur awam adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang MBKS menjadikan taman awam lebih inklusif.

Beliau mengingatkan pengunjung supaya bekerjasama menjaga kebersihan, tidak merosakkan kemudahan awam dan tanaman hiasan.
“Kelestarian taman awam memerlukan kerjasama semua pihak. Apabila dijaga dengan baik, taman ini dapat terus menjadi kebanggaan masyarakat bandar,” katanya.
Selain Taman Sahabat katanya, Bazar TBC 2026 turut diperluaskan ke beberapa lokasi lain di bawah pentadbiran MBKS sebagai usaha memastikan manfaat pembangunan bandar dapat dirasai secara lebih menyeluruh.

Terdahulu, Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian turut menyantuni pengunjung di Bazar Tahun Baru Cina 2026 di Taman Sahabat sambil meninjau penambahbaikkan kawasan rekreasi berkenaan.
Untuk rekod, Bazar Tahun Baru Cina 2026 di Taman Sahabat belangsung sehingga 15 Februari depan bermula jam 4 petang sehingga 11 malam. Sementara bazar lain terletak di Taman Kenyalang dan di kawasan parkir awam Padungan.

