ARTIKEL

Majlis perasmian pembukaan yang diadakan bagi pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi), Datu Hii Chang Kee (tiga kanan). FOTO: BBW

BBW perkasa bahasa Inggeris generasi muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Usaha memupuk budaya membaca di Sarawak terus diperkasa menerusi kerjasama Kerajaan Sarawak dengan Big Bad Wolf Books menganjurkan Jualan Buku Terbesar di Dunia di Aras 3, Boulevard Shopping Mall, Kuching.

Berlangsung selama 11 hari sehingga 6 September 2026, acara berkenaan menawarkan jutaan judul buku berbahasa Inggeris pada harga mampu milik serta diskaun sehingga 95 peratus.

Penganjurannya menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris generasi muda, selain membekalkan kemahiran bahasa yang penting untuk bersaing dalam ekonomi global.

Majlis perasmian yang diadakan bagi pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi), Datu Hii Chang Kee.

Suasana sekitar Jualan Buku Big Bad Wolf Kuching 2026. FOTO: BBW

Dalam ucapannya, Datu Hii berkata, akses kepada bahan bacaan berkualiti bukan sahaja membantu perkembangan akademik, malah membentuk pemikiran kreatif serta membuka minda generasi muda terhadap dunia luar.

Jualan buku berkenaan memberi peluang kepada pelajar dan keluarga mempelajari bahasa Inggeris dalam suasana yang lebih semula jadi dan menyeronokkan.

Berlangsung bersempena sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69, acara itu turut menyediakan ruang alternatif kepada keluarga untuk meluangkan masa bersama tanpa gangguan skrin digital.

Ibu bapa dan warga pendidik digalakkan memanfaatkan peluang berkenaan bagi menggalakkan budaya membaca serta pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan anak-anak.

Sesi penyampaian cenderamata. FOTO: BBW

Pelbagai inisiatif turut disediakan bagi memastikan jualan buku dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.

Antaranya, pelajar dan warga pendidik layak menerima diskaun tambahan lima peratus bagi pembelian minimum tiga buah buku.

Tawaran berkenaan boleh ditebus dengan mengemukakan kad pengenalan yang sah, memakai pakaian seragam sekolah atau menunjukkan diskaun digital dan baucar fizikal ketika pembayaran.

Bagi sekolah, pusat pembelajaran dan perpustakaan awam tempatan pula, program Pembelian Pukal Institusi menawarkan penjimatan berperingkat bagi membantu menambah koleksi buku berbahasa Inggeris pada kos lebih rendah.

Pengunjung turut boleh menikmati pelbagai promosi harian dan sempena perayaan, termasuk Diskaun Merdeka sebanyak 6.9 peratus pada 31 Ogos serta promosi ‘Beli 6, Percuma 1’ pada hari bekerja dari 1 hingga 4 September.

Selain itu, pengunjung yang berbelanja RM90 dalam satu resit layak menyertai peraduan Spend & Win, dengan setiap perbelanjaan RM90 memberikan satu penyertaan cabutan bertuah untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM20,000, termasuk hadiah utama jongkong emas seberat 10 gram.

Diasaskan di Malaysia pada 2009 oleh Andrew Yap dan Jacqueline Ng, Big Bad Wolf Books kini telah menjelajah lebih 55 bandar di 17 negara dengan misi merapatkan jurang literasi dan melahirkan generasi pembaca baharu di seluruh dunia.

Masyarakat Sarawak dijemput mengunjungi Jualan Buku Big Bad Wolf Kuching 2026 yang dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dengan kemasukan percuma.

Suasana sekitar Jualan Buku Big Bad Wolf Kuching 2026. FOTO: BBW
Suasana sekitar Jualan Buku Big Bad Wolf Kuching 2026. FOTO: BBW
Suasana sekitar Jualan Buku Big Bad Wolf Kuching 2026. FOTO: BBW

BERITA LAIN

BERITA TERBARU