SIBU: ‘Itut’ atau buaian gergasi tradisional masyarakat Melanau yang dibina setinggi hampir 60 kaki merupakan antara tarikan utama dalam Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2025.
Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Roseley berkata, Itut ini adalah yang tertinggi pernah didirikan dalam sejarah BCF.
“Tiada yang pernah dibina setinggi hampir 60 kaki seperti tahun ini. Sebelum ini, ketinggiannya hanya sekitar 45 hingga 46 kaki.
“Kita mahu menjadikan Itut ini sebagai salah satu tarikan utama tahun ini,” katanya pada sidang media, petang semalam.
Sehubungan itu, BCF 2025 yang bermula hari ini sehingga 12 Julai bertemakan ‘Rhythm of Borneo’ menampilkan pelbagai elemen baharu yang menjanjikan pengalaman lebih unik dan meriah buat pengunjung.
Ujar Izkandar, fokus pada kali ini diberikan kepada bakat-bakat tempatan dan persembahan etnik dari pelbagai kaum di Sarawak, termasuk Dayak, Melayu-Melanau, Cina, Lun Bawang dan lain-lain.
“Tahun ini, kita mengadakan Malam Kebudayaan bagi menggantikan Malam Antarabangsa.
“Kita mahu pentas utama diberikan kepada bakat-bakat dari budaya Sarawak sendiri, supaya masyarakat kita mempunyai ramai penggiat seni budaya yang hebat di negeri ini,” katanya lagi.
Jelasnya, antara tarikan utama tahun ini ialah reka bentuk gerbang BCF yang baharu dan lebih unik berbanding tahun-tahun sebelumnya. Gerbang ini dihias dengan elemen suasana kampung termasuk aliran sungai mini dengan air terjun kecil serta ikan-ikan hidup yang menggamit nostalgia kehidupan desa.
Dalam pada itu, maskot rasmi BCF 2025 adalah sepasang patung engkulik jantan dan betina dalam usaha mengetengahkan spesies ini yang kini mendapat perhatian sebagai spesies dilindungi di Sarawak.
Bukan itu sahaja, festival ini juga akan menampilkan persembahan antarabangsa dari Jawa Barat, Indonesia serta India, yang menyerlahkan warisan budaya mereka yang unik dan berwarna-warni.
Di samping itu, orang ramai dinasihati agar sentiasa menjaga kebersihan sepanjang festival dengan membuang sampah ke dalam tong sampah berlabel yang telah disediakan.
Tegasnya, MPS akan menjalankan pemantauan secara berkala dan akan mengenakan kompaun sebanyak RM500 kepada individu yang melanggar peraturan kebersihan.
Sementara itu, beberapa laluan akan ditutup atas faktor keselamatan dan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas, bergantung kepada keputusan pihak berkuasa.
BCF 2025 anjuran MPS mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta pelbagai rakan penaja strategik. Festival ini dijangka menarik lebih ramai pengunjung sekali gus merancakkan pelancongan dan ekonomi setempat.


