ARTIKEL

ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming semasa mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama-sama pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi menilai isu berkaitan pengurusan banjir dan sistem perparitan di kawasan terlibat.

BDA, Johnny Pang teliti perubahan pola banjir di Bintulu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Perubahan pola kejadian banjir di beberapa kawasan sekitar Bintulu selepas hujan lebat baru-baru ini memerlukan penelitian menyeluruh terhadap keberkesanan sistem saliran sedia ada, khususnya di kawasan perumahan dan institusi pendidikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, perkara itu dikenal pasti selepas beliau mengadakan satu lagi mesyuarat penyelarasan bersama pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi menilai isu berkaitan pengurusan banjir dan sistem perparitan di kawasan terlibat.

Menurut beliau, hasil pemerhatian selepas hujan pagi baru-baru ini menunjukkan perubahan yang perlu diberi perhatian apabila kawasan yang sebelum ini sering mengalami masalah banjir seperti Jalan Sibiyu tidak terjejas. Sebaliknya, kawasan sekitar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Tanjong Batu pula mengalami takungan air.

“Persoalannya, mengapa kawasan yang sebelum ini sering banjir kini tidak lagi mengalami masalah, manakala kawasan lain pula mula terjejas? Perkara ini perlu dikaji dengan teliti bagi mengenal pasti punca sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penelitian itu penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil bersesuaian dengan keadaan semasa, termasuk menilai semula kapasiti sistem saliran, aliran air, serta keupayaan infrastruktur sedia ada dalam menghadapi hujan lebat.

Johnny Pang berkata, pihak berkaitan telah diminta menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem saliran terutama di kawasan perumahan dan sekitar sekolah, selain mempertingkatkan kerja pembersihan longkang serta pengorekan mendapan bagi memastikan saliran berfungsi dengan baik.

Katanya, isu banjir tidak boleh ditangani hanya melalui tindakan jangka pendek seperti kerja penyelenggaraan berkala, sebaliknya ia memerlukan perancangan jangka panjang yang melibatkan naik taraf infrastruktur saliran.

“Longkang yang sudah lama dan tidak lagi mampu menampung aliran air perlu dinaik taraf. Ada kawasan yang perlu dilebarkan, ada juga yang memerlukan penambahbaikan menyeluruh.

“Jika memerlukan peruntukan tambahan, kita akan terus berusaha mendapatkannya supaya penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada penduduk,” ujarnya.

Beliau berkata, pengalaman sebagai mangsa banjir sebelum ini menjadikan isu mitigasi banjir antara perkara yang sentiasa diberi perhatian kerana beliau memahami kebimbangan penduduk setiap kali berlaku hujan berterusan.

“Saya tahu perasaan apabila hujan turun tanpa henti dan keluarga mula risau sama ada air akan memasuki rumah. Sebab itu usaha mengurangkan kawasan titik panas banjir di Bintulu menjadi antara keutamaan saya,” katanya.

Menurutnya, penyelesaian masalah banjir memerlukan kerjasama berterusan antara semua pihak termasuk agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat.

Johnny Pang berkata, walaupun penambahbaikan sistem saliran tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat, pemantauan dan tindakan secara berperingkat akan terus dilakukan bagi memastikan kawasan berisiko banjir dapat dikurangkan.

“Kita mungkin tidak dapat menyelesaikan semuanya dalam sehari, tetapi dengan perancangan, pemantauan dan kerjasama semua pihak, kita boleh mengurangkan kawasan banjir serta memastikan penduduk Bintulu dapat hidup dengan lebih selesa dan yakin,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU