ARTIKEL

BDBA Akan Bangunkan Semula Hotel di Batang Ai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bakal membangunkan semula hotel di Batang Ai.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi memperkasakan sektor pelancongan yang boleh meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.

“Tadi saya melancarkan bot elektrik Sarawak Energy dan saya sudah berunding dengan Pengerusi BDDA Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk pembangunan sebuah hotel bersaiz sederhana di Batang Ai.

“Mereka (BDDA) akan bina hotel di sini dengan tempat telah pun dikenal pasti.

“Sehubungan itu, kemudahan bot elektrik tadi juga boleh digunakan untuk melawat kawasan pelancongan menarik seperti Santuari Hidupan Liar Lanjak-Entimau dan Taman Negara Batang Ai,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Loji Hidroelektrik (HEP) Batang Ai: 40 Tahun Menjana Tenaga Sarawak di sini hari ini.

Jelasnya, dahulu terdapat hotel atau pusat peranginan namun sudah tidak beroperasi.

Abang Johari yakin pelancong akan semakin ramai datang ke Batang Ai apabila kemudahan seperti tempat penginapan dan jalan perhubungan bertambah baik termasuk pengangkutan udara dengan siapnya lapangan terbang di Bebuling, Spaah tidak lama lagi.

“Ini akan menjadi pemboleh ubah penting untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat di sini.

“Bagaimanapun, komuniti sendiri mesti mempunyai idea baharu terutama dalam pelbagai program pelancongan.

“Kerajaan Sarawak telah memulakan pembinaan lapangan terbang, jadi anda (masyarakat) harus memikirkan bagaimana untuk merebut peluang ekonomi itu nanti,” ujarnya.

Beliau pada majlis sama meluluskan peruntukan RM2 juta bagi mengemaskini keadaan pembangunan masyarakat sekitar Batang Ai.

“Inilah yang kita panggil keseluruhan pakej yang memberi manfaat kepada rumah panjang dan komuniti, di samping mengekalkan tarikan seperti Lanjak Entimau,” katanya lagi.

ABANG Johari sempat membelek hasil tangan masyarakat setempat yang dipamerkan semasa Sambutan Ulang Tahun Ke-40 HEP Batang Ai: 40 Tahun Menjana Tenaga Sarawak di sini hari ini. Foto. UKAS

BERITA LAIN

BERITA TERBARU