KUCHING: Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) akan menunda penganjuran Liga Betong 2025.
Presiden BDFA, Abang Suhordie Abang Zaini menjelaskan, keputusan berbuat demikian bagi mengelakkan pertembungan masalah luar jangka.
“Sebagaimana diketahui, saingan Liga Premier Sarawak 2025 akan bermula hujung September depan.
“Andaikata kita meneruskan penganjuran Liga Betong 2025, sudah tentu berlaku pertembungan dari segi penggunaan gelanggang kelak,” ujar Abang Suhordie kepada Arena Suara Sarawak.
Justeru, pihaknya memberi laluan kepada perjalanan saingan Liga Premier Sarawak 2025 terlebih dahulu.
Ditambah pula, kata Abang Suhordie, BDFA juga berdepan masalah dari segi tenaga kerja untuk mengurus perjalanan Liga Betong 2025 sekiranya diteruskan penganjurannya.
Beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan perkara tersebut kepada semua pihak terlibat dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Abang Suhordie menyatakan, pihaknya akan melihat keperluan untuk menganjurkan kejohanan lain selepas Liga Premier Sarawak 2025 dilangsungkan kelak.
“Kita belum memikirkan kejohanan lain yang akan dianjurkan. Besar kemungkinan ia merupakan karnival untuk tempoh beberapa hari sahaja,” tambah Abang Suhordie.

