SEBELUM ini saya pernah menulis berkaitan implikasi rokok elektronik atau vape yang dianggap sebagai pengganti rokok sebenar.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan terdapat 15 jenis kanser yang sering dikaitkan dengan kesan rokok seperti usus, hati, perut, pundi kencing dan sebagainya.
Bagi rokok elektronik pula lebih menekankan penyakit yang dikenali sebagai E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI).
Malah, ia turut menjejaskan organ tubuh seperti mata, jantung, perut, sel otak, tekak dan paru-paru.
Perkara yang sering terlepas pandang ialah Sisa Asap Basi (SAB) – sisa rokok dalam bentuk habuk atau bahan kimia yang tidak kelihatan tetapi melekat di persekitaran.
SAB mampu kekal di udara selama 5 jam di dalam bilik, malah mampu bertahan sehingga dua tahun walaupun dicuci.
Sekali lagi ditegaskan, rokok merupakan satu-satunya produk yang saya setuju sekiranya dikenakan cukai yang tinggi.
Namun, terdapat salah faham berkaitan isu cukai rokok dengan tuduhan kononnya kerajaan ingin mengaut keuntungan.
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Dewan Negara, KKM mendedahkan beban kos kesihatan dan ekonomi akibat penyakit berkaitan penggunaan vape dianggarkan mencecah kira-kira RM369 juta setahun, jauh melebihi jumlah hasil duti eksais daripada produk vape yang dikutip kerajaan.
Bagi tempoh pelaksanaan duti eksais ke atas produk rokok elektronik atau vape, jumlah kutipan yang direkodkan adalah sebanyak RM80.32 juta pada 2023, meningkat kepada RM111.14 juta pada 2024 dan RM118.93 juta pada 2025.
Manakala, bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Jun tahun ini, kutipan direkodkan bernilai RM44.11 juta, menjadikan jumlah keseluruhan kutipan duti eksais adalah sebanyak RM354.51 juta.
Jelas memaparkan perbezaan angka tersebut.
Nilai RM369 juta setahun ini seharusnya boleh digunakan untuk menampung keperluan rawatan yang lain atau kempen berkaitan kesihatan.
Justeru, usaha membendung dan akhirnya menghapuskan penggunaan produk rokok perlu diperkasa oleh kerajaan dengan sokongan masyarakat.
KKM sebelum ini turut memaklumkan bahawa pihaknya memperkukuh kawalan ke atas produk berisiko tinggi termasuk meneliti cadangan pengharaman vape jenis berbotol.
Langkah ini susulan risiko produk tersebut dicampur dengan dadah dan bahan terlarang.
Namun sebarang keputusan rasmi termasuk cadangan pengharaman yang lebih menyeluruh akan terus dinilai berdasarkan bukti saintifik, data semasa, dan kepentingan kesihatan awam.
Usaha ini masih diteruskan dan ia tidak mustahil memandangkan terdapat negara yang berjaya melaksanakannya.
Sebelum ini, dilaporkan Parlimen United Kingdom (UK) melakukan perkara yang lama diidamkan oleh KKM iaitu meluluskan rang undang-undang larangan penjualan rokok.
Ia menjadikan UK sebagai negara pertama yang mengenakan larangan merokok ke atas seluruh generasi.
RUU tembakau dan vape itu bertujuan menghalang sesiapa yang lahir selepas 1 Januari 2009.
KKM juga mempunyai hasrat yang sama iaitu melarang penjualan dan penggunaan produk tembakau kepada mereka yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007, namun ia digugurkan.
Usaha terkini KKM adalah melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), melibatkan beberapa aspek yang dikuatkuasakan secara serta-merta dan berperingkat.
Ia termasuk penjualan produk rokok yang menarik perhatian kanak-kanak dan remaja, bagi mengurangkan akses kepada produk tersebut.
Ia juga melibatkan larangan pengiklanan, promosi dan tajaan produk merokok serta larangan penjualan di institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.
Pada akhirnya, persoalan berkaitan rokok bukan sekadar berapa banyak hasil cukai yang mampu dikutip kerajaan, tetapi berapa besar kos yang perlu ditanggung apabila tabiat itu membawa kepada penyakit, rawatan berpanjangan dan kehilangan produktiviti sumber tenaga.
Jika beban tersebut boleh dikurangkan melalui kawalan yang lebih tegas, pencegahan dan kesedaran masyarakat, maka itulah pelaburan terbaik untuk kesihatan generasi akan datang.



