KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM199 juta bagi tahun 2026 untuk melaksanakan projek bekalan elektrik di bawah Pembiayaan Alternatif dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, sejajar dengan itu, Sarawak Energy harus membuat perancangan dan pelan tindakan yang rapi agar projek dilaksanakan mengikut jadual.
“Langkah ini memastikan projek-projek di bawah peruntukan ini dilaksanakan mengikut jadual dan peruntukan dibelanjakan sepenuhnya,” katanya berucap merasmikan Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di Hotel Imperial, di sini, hari ini.
Setakat ini, liputan keseluruhan bekalan elektrik di Sarawak telah mencapai 99.7 peratus dengan kapasiti penjanaan elektrik pula mencecah 5,898 megawatt (MW).
“Selaras dengan aspirasi Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kapasiti penjanaan disasarkan meningkat kepada 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035,” jelasnya.
Ssekurang-kurangnya 60 peratus campuran penjanaan daripada sumber tenaga boleh baharu seperti hidro, solar, Sumber Kuasa Melata (CPS), Hidroelektrik Simpanan Pam (PSH) dan biomas.

“Oleh itu, saya berharap Sarawak Energy memainkan peranannya lebih proaktif selaku pembeli tunggal dalam menggalakkan pelaburan bagi pembangunan projek berasaskan sumber tenaga boleh baharu.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem tenaga boleh baharu di Sarawak, malah merealisasikan visi Kerajaan Sarawak untuk muncul sebagai hab tenaga boleh baharu di rantau ini,” ujarnya.
Menyentuh mengenai program Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF), Sarawak Energy diseru untuk mempercepatkan pelaksanaannya selaras perancangan yang telah ditetapkan.
“Kita perlu menyedari bahawa gaya hidup penduduk luar bandar telah banyak berubah seiring pembangunan pesat, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap bekalan elektrik.
“Kita juga sedia maklum bahawa beberapa kawasan terutamanya di luar bandar sering mengalami gangguan bekalan elektrik, termasuk semasa musim perayaan di sesetengah tempat.
“Oleh itu, saya berharap Sarawak Energy meneruskan usaha menambah baik kualiti bekalan elektrik terutama di luar bandar dengan lebih agresif lagi agar masalah ini dapat ditangani dan diatasi dengan segera,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan sektor telekomunikasi, beliau memaklumkan bahawa liputan internet mengikut penempatan di Sarawak setakat tahun 2025 telah mencapai 94.5 peratus.
Dalam pada itu, beliau turut berharap pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 di bawah Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dapat disegerakan.
“Ini khususnya dengan mengambil kira kawasan blind spot di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua serta jalan-jalan utama lain bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan internet,” tambahnya.
Beliau berkata, SACOFA kini sedang melaksanakan inisiatif penambahbaikan rangkaian sedia ada – melibatkan kerja naik taraf rangkaian gentian optik dan peningkatan kapasiti rangkaian.
“Selain itu, pengukuhan infrastruktur sokongan bagi penyediaan perkhidmatan oleh penyedia telekomunikasi seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan lain-lain.
“Oleh itu, saya berharap SACOFA melaksanakan inisiatif ini mengikut perancangan bagi mengurangkan kesesakan rangkaian serta menyediakan kualiti sambungan internet yang lebih stabil, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.


