PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Abdul Rahman, daripada pertuduhan bersubahat dengan anak lelakinya dalam kes rasuah bernilai SG$200,000 (RM627,636) berkaitan projek bekalan elektrik luar bandar (BELB) di Sandakan, Sabah, sembilan tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Azizul Azmi Adnan, dalam keputusan sebulat suara, membenarkan rayuan Mohd Arif untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM3 juta terhadapnya.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan sabitan terhadap anak Mohd Arif, Ahmad Zukhairi, atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai SG$200,000 berkaitan beberapa projek melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar pada 2016.
Hakim Vazeer Alam turut mengurangkan hukuman penjara terhadap Ahmad Zukhairi daripada lima tahun kepada empat tahun bagi kesemua empat pertuduhan manakala denda RM9.6 juta dikekalkan.
“Bagi hukuman penjara 10 tahun jika gagal membayar denda, ia dikurangkan kepada enam tahun,” katanya. — BERNAMA




