KUCHING: Seorang bekas pekerja kedai dijatuhkan hukuman penjara setahun dengan satu sebatan kerana melakukan pecah amanah wang berjumlah RM18,960.85 milik sebuah kedai serbaneka 24 jam pada September tahun lalu.
Awang Aiman Hakimi Abdullah, 21, dari Serian, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan, Awang Aiman didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah apabila gagal memasukkan wang berjumlah RM18,960.85 ke dalam akaun syarikat.
Dia melakukan kesalahan itu secara berperingkat sekitar bulan September 2024 di Batu Tujuh, Kota Sentosa, di sini.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 14 tahun, dan boleh dikenakan sebatan dan denda.
Berdasarkan fakta kes, pada 11 Oktober 2024, pengadu, yang merupakan pengurus kedai, menerima laporan daripada pihak kewangan bahawa terdapat perbezaan jualan masuk tunai sepanjang bulan September.
Laporan polis dibuat oleh pengadu untuk tindakan dan siasatan lanjut, seterusnya membawa kepada penahanan tertuduh.
Hasil siasatan mendapati tertuduh sebagai pekerja kedai telah melakukan jualan pelbagai kad tambah nilai, TNG, pembayaran Shopee, dan pembayaran bil elektrik Sarawak Energy tanpa merekodkan bayaran, untuk tujuan peribadi.
Semasa prosiding, tertuduh, yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jong Yee Ling, memohon diringankan hukuman kerana tertuduh perlu menyara adik perempuannya yang masih bersekolah di sebuah institusi pengajian tinggi.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Xiang Hua.


