ARTIKEL

Wang Haram: tertuduh dibawa keluar oleh anggota polis dari bilik Mahkamah Sesyen 3....

Bekas pembantu tadbir dipenjara 468 tahun, didenda RM180 juta atas kes pengubahan duit haram, pecah amanah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM180 juta dan penjara 468 tahun dan tiga sebatan terhadap bekas pembantu tadbir kewangan sebuah agensi kerajaan kerana terlibat dalam pengubahan wang haram dan pecah amanah wang bernilai lebih RM16 juta.

Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja’afar@AngChui Thong, 39, mengaku bersalah atas 39 pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.

Mengikut tiga pertuduhan, Mohd Zairull didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah wang berjumlah RM10,272,350.01.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat agensi kerajaan antara bulan Jun dan Disember 2019, Februari dan November 2020 dan terakhir pada Januari dan Disember 2021.

Seksyen terbabit membawa hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Musli menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan satu sebat bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Manakala, 36 pertuduhan lagi, dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta sama kerana melakukan kesalahan pengubahan wang haram melibatkan wang jumlah RM6,013,504.31.

Dia melakukan kesalahan itu apabila memindahkan sejumlah wang daripada sebuah bank di Jalan Song Thian Cheok kepada beberapa akaun peribadi di bank lain, agensi pelaburan, agensi pinjaman pendidikan dan beberapa agensi kewangan yang lain antara 2019 dan 2021.

Jika sabit kesalahan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang atau didenda RM5 juta atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Musli menjatuhkan hukuman denda RM180 juta atau 36 bulan penjara bagi kesemua 36 pertuduhan untuk kesalahan pengubahan wang haram.

Walau bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi kesemua 39 pertuduhan berjalan secara serentak berkuat kuasa dari tarikh reman pada 7 mac 2024.

Berdasarkan fakta kes, pada 4 Januari 2022, pengadu wanita membuat laporan polis selepas mendapati perbelanjaan di agensinya melebihi bajet dan sejumlah dana telah masuk ke akaun gaji tertuduh yang pada ketika itu bekerja sebagai pembantu tadbir kewangan gred W19.

Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah dana milik agensi masuk ke senarai gaji tertuduh tanpa diketahui.

Tertuduh yang diamanahkan untuk menjalankan tugas pembayaran gaji pekerja tetapi untuk gaji dirinya sendiri dimasukkan amaun yang lebih tinggi daripada gaji pokok dengan merekodkan ia sebagai tunggakkan gaji dan tunggakan elaun semasa menyediakan simulasi rekod gaji bulanan.

Penyata gaji Mohd Zairull mendedahkan transaksi mencurigakan apabila sejumlah lebih RM4 juta telah dikreditkan ke dalam akaun gajinya.

Selain itu, tertuduh juga memindahkan sejumlah wang dana daripada akaun jabatan ke beberapa akaun peribadi, akaun pelaburan,akaun pinjaman pendidikan dan akaun agensi kewangan yang lain.

Setelah puas songlap dana jabatannya dan menggelak daripada perbuatan jenayahnya dihidu majikan, Mohd Zairull mengemukakan surat peletakan jawatan berkuat kuasa 31 Januari 2022 tetapi dia memendekkan tempoh notis berhenti berkuat kuasa 31 Disember 2021.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh tiga orang Timbalan Pendakwa Raya (DPP) iaitu DPP Wan Nur Amanina Wan Din, DPP Mohd Ashrof Kamarul dan DPP Manjira Vasudevan, manakala tertuduh diwakili Peguam Christopher Bada.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU