ARTIKEL

Belanjawan 2025: Sarawak terima peruntukan pembangunan sebanyak RM5.9 bilion

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM5.9 bilion di bawah Belanjawan 2025, sekali gus menyaksikan pertambahan sekitar RM100 juta berbanding RM5.8 bilion dalam Belanjawan 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan merupakan tertinggi berbanding negeri-negeri lain dengan masing-masing menerima RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.

“Kerajaan MADANI menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Maka tidak harus dipertikai sebab Sabah Sarawak diberi perhatian khusus.

“Jurang pembangunan antara negeri perlu dirapatkan, khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih. Oleh itu peruntukan pembangunan kepada Sabah dan Sarawak terus diberikan yang tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Persidangan Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah tidak pernah dikaji sejak 1969 dan di bawah MADANI pada tahun ini dinaikkan kadar.

“Mulai 2025, kerajaan bercadang menaikkan kadar pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada 600 juta ringgit.

“Berbanding tahun ini kadar tersebut dinaikkan kepada RM300 juta ketimbang RM16 juta (Sarawak) dan RM125.6 juta (Sabah),” ujarnya.

Sementara itu katanya, kerajaan bersetuju melaksanakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos RM253 juta.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak juga akan bekerjasama membangunkan Pusat Kanser Sarawak yang dianggarkan RM1 bilion.

“Saya memuji kesediaan Sarawak yang mendahulukan pembiayaan bagi pembinaan projek,” katanya.

Di samping itu, beliau memberitahu kerajaan memuktamadkan sebanyak 17 pakej kerja Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1B dikeluarkan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dengan nilai kontrak RM9.7 bilion.

“Ini meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau.

“Manakala LPB Sarawak dijangka siap November 2024. Secara keseluruhan, projek LPB Sarawak dan Sabah telah menelan belanja sebanyak RM25.1 bilion,” jelasnya.

Beliau turut berkata, kerajaan telah memuktamad empat pakej kerja Sabah Sarawak Link-Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion.

“Dua pakej sudah dianugerahkan, manakala baki pakej sebelum hujung tahun,” tambahnya.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat