KUCHING: Belanjawan 2027 wajar memperhalusi kaedah penentuan kelayakan bantuan supaya keluarga M40 yang mempunyai ramai tanggungan tidak tercicir hanya kerana pendapatan kasar melebihi ambang tertentu.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Aila Abdul Latif berkata, kelayakan bantuan boleh dinilai berdasarkan pendapatan boleh guna selepas mengambil kira kos sara hidup sebenar isi rumah, bukan semata-mata pendapatan kasar.
Pendekatan itu lebih mencerminkan kedudukan sebenar kewangan keluarga, khususnya golongan M40 berdepan pelbagai tekanan kos sara hidup.
“Melihat kenyataan pra-Belanjawan 2027, penekanan kali ini mungkin lebih terarah kepada kuasa beli golongan B40 dan M40.
“Jadi, perkara yang boleh diperhatikan ialah bagaimana had kelayakan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperhalusi supaya keluarga M40 yang mempunyai ramai tanggungan tidak tercicir hanya kerana pendapatan kasar melebihi ambang tertentu,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, pendekatan bantuan juga boleh beralih secara beransur-ansur daripada bantuan tunai semata-mata kepada usaha meningkatkan pendapatan boleh guna menerusi subsidi bersasar, pelepasan cukai atau peluang pendapatan yang lebih baik.
Dalam konteks Sarawak katanya, dasar berkaitan kos sara hidup perlu mengambil kira perbezaan wilayah kerana pendekatan nasional tidak semestinya memberikan kesan sama di semua kawasan.
“Faktor geografi, kos logistik, pengangkutan dan akses kepada perkhidmatan perlu diambil kira ketika merangka struktur bantuan atau pembangunan,” katanya.

