ARTIKEL

Profesor James Chin.

Belanjawan 2027 perlu jadikan kekayaan Sarawak pelaburan masa depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Belanjawan Sarawak 2027: Fokus kepada perbelanjaan bijak, kata penganalisis

KUCHING: Sarawak tidak berdepan masalah kekurangan wang untuk Belanjawan 2027, sebaliknya persoalan lebih besar ialah bagaimana hasil negeri yang kukuh itu dibelanjakan secara bijak bagi menjana manfaat jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi negeri, kata penganalisis politik, Profesor James Chin.

Profesor Pengajian Asia, Universiti Tasmania itu berkata, kedudukan hasil Sarawak kini kukuh, termasuk hasil berkaitan penyelesaian Petronas serta sumber pendapatan baharu yang mula memberikan pulangan kepada negeri.

“Wang bukan isu; persoalannya ialah bagaimana wang itu dibelanjakan secara bijak sebagai pelaburan untuk dividen atau manfaat Sarawak pada masa depan,” katanya kepada Suara Sarawak ketika diminta mengulas jangkaan terhadap Belanjawan Sarawak 2027, hari ini.

Dalam pada itu, James menjelaskan, berdasarkan corak belanjawan sebelum ini, Sarawak dijangka terus memberi tumpuan kepada industri baharu dan bidang perindustrian yang mempunyai potensi untuk mengembangkan ekonomi negeri.

Menurutnya, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilihat sentiasa memberi perhatian kepada bidang baharu dan beberapa dasar yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri dijangka hanya menunjukkan hasil lebih ketara dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

“Keutamaan adalah kepada bidang baharu yang boleh diterokai Sarawak; pertumbuhan ekonomi Sarawak juga saya jangka kekal stabil,” tegasnya.

Dalam masa sama, James menjangkakan Belanjawan 2027 turut menyediakan lebih banyak manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya golongan B40 dan kelas pertengahan, termasuk bantuan tunai serta subsidi.

Katanya, peningkatan kos sara hidup di Sarawak memerlukan kerajaan negeri mengambil langkah untuk mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi isi rumah.

“Saya menjangkakan lebih banyak suntikan tunai, secara langsung atau tidak langsung, kepada golongan B40 dan kelas pertengahan,” ujarnya.

James turut menjangkakan sektor pertanian dan kesihatan menjadi antara bidang utama dalam Belanjawan 2027, selaras dengan usaha Sarawak memperkukuh sektor ekonomi dan memperluas autonomi dalam bidang kesihatan.

Menurutnya, peruntukan RM1 bilion bagi sektor pertanian serta usaha memperluas peranan Sarawak dalam sektor kesihatan menunjukkan kedua-dua bidang berkenaan mempunyai kepentingan strategik kepada negeri.

Selain itu, beliau memberitahu agenda ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) dijangka terus diberi perhatian, walaupun kedua-duanya sudah menjadi sebahagian daripada dasar pembangunan Sarawak sejak beberapa tahun lalu.

Kata James lagi, jika kedudukan kewangan negeri terus mencatat lebihan, sebahagian daripada lebihan itu juga boleh terus disalurkan ke Sarawak Sovereign Wealth Fund sebagai persediaan kewangan untuk generasi akan datang.

“Dengan kedudukan fiskal yang kukuh, cabaran sebenar Belanjawan Sarawak 2027 bukan sekadar menentukan berapa banyak wang yang boleh dibelanjakan, tetapi memastikan setiap peruntukan menghasilkan nilai ekonomi dan manfaat yang berkekalan kepada rakyat Sarawak,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU