KUCHING: Belanjawan 2027 perlu beralih daripada pendekatan berasaskan jumlah peruntukan kepada pembangunan berasaskan hasil bagi memastikan pelaburan kerajaan benar-benar meningkatkan pendapatan, pekerjaan berkemahiran tinggi dan pertumbuhan perusahaan tempatan di Sarawak.
Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, keberkesanan belanjawan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya melalui keupayaannya mengubah struktur ekonomi dan meningkatkan pendapatan isi rumah.
Asas ekonomi Sarawak kini kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita mencecah RM73,784 pada 2025, berbanding purata nasional RM59,186.
“Belanjawan 2027 perlu membantu rakyat meningkatkan keupayaan menjana pendapatan melalui pekerjaan lebih produktif, gaji lebih tinggi dan peluang perusahaan selain mengurangkan kos ekonomi yang ditanggung isi rumah dan perniagaan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Pelaburan dalam pengangkutan, bekalan air, elektrik, internet dan logistik juga perlu diberi perhatian kerana faktor geografi serta jarak menjadi antara cabaran penyampaian perkhidmatan di Sarawak.
Dalam aspek pelaburan, katanya, Sarawak merekodkan RM14.2 bilion pelaburan diluluskan pada 2025, namun limpahan ekonomi perlu diperluas ke bandar sekunder dan kawasan luar bandar, bukan tertumpu di pusat bandar utama.
“Pelaburan perlu mengikuti infrastruktur dengan kawasan luar bandar dan bandar kedua dibangunkan berdasarkan kelebihan masing-masing seperti pemprosesan agro, industri makanan, tenaga boleh baharu, pelancongan, ekonomi digital, logistik, hiliran gas dan mineral serta industri berasaskan bio,” katanya.
Barjoyai berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga perlu menjadi fokus utama melalui sokongan yang melangkaui pemberian geran, termasuk pembiayaan, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), akses pasaran dan pembangunan vendor tempatan.
Katanya, Belanjawan 2027 turut perlu menghubungkan pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti tenaga boleh baharu, digital, semikonduktor, hidrogen, hiliran gas dan industri teknologi dengan pembangunan bakat tempatan menerusi latihan teknikal, perantisan, kerjasama universiti-industri dan pemindahan teknologi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak, universiti dan pelabur utama diwujudkan bagi melatih tenaga kerja tempatan berdasarkan keperluan pekerjaan berkemahiran tinggi yang dijangka diwujudkan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

