ARTIKEL

Abang Johari ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 dalam Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) yang ke-19, di sini, hari ini. | Foto: Ghazali Bujang

Belanjawan Sarawak 2025 utamakan kesejahteraan rakyat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Belanjawan Sarawak 2025 dijangka menjana lebihan RM486 juta dengan unjuran hasil RM14.2 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa berjumlah RM13.7 bilion.

Ketika membentangkan belanjawan itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata belanjawan itu merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah Sarawak.

“Ini mencerminkan kejayaan strategi kejuruteraan semula hasil dan pengurusan kewangan yang berhemah. Melalui Belanjawan ini, kami melabur dengan ketara dalam infrastruktur sambil meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 dalam Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) yang ke-19, di sini, hari ini.

Belanjawan yang dicadangkan bertemakan “Bersama Membina Masa Depan yang Makmur”. Tema ini menjadi asas kepada strategi fiskal kita dan melambangkan komitmen teguh kita kepada rakyat Sarawak. Ia adalah Belanjawan yang direka untuk Sarawak yang inklusif dan makmur — di mana setiap rakyat mempunyai akses yang saksama kepada peluang dan sumber untuk maju.

Sementara itu, Abang Johari yang membentangkan anggaran cadangan Belanjawan Sarawak menyatakan bahawa tahun 2025 dijangka mencatatkan sebanyak RM13.7 bilion.

“Daripada jumlah ini, RM4.9 bilion adalah untuk Perbelanjaan Mengurus, manakala RM8.8 bilion adalah untuk peruntukan ke dalam Akaun Tabung Pembangunan.

“Peruntukan ini adalah untuk menambah baki yang dibawa ke hadapan dalam Akaun Tabung Pembangunan bagi membiayai Perbelanjaan Pembangunan 2025 yang dianggarkan berjumlah RM10.9 bilion,” ujarnya.

Menjelas mengenai perbelanjaan mengurus sebanyak RM4.9 bilion diperuntukkan untuk membiayai perbelanjaan, katanya RM1.2 bilion atau 24 peratus untuk emolumen kakitangan manakala RM1.9 bilion atau 39 peratus untuk bekalan dan perkhidmatan.

Seterusnya jelas Abang Johari RM1.6 bilion atau 33 peratus pula untuk geran dan bayaran tetap, termasuk geran operasi kepada Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, perkhidmatan hutang awam, serta pembayaran gratuiti, pencen, dan biasiswa, termasuk bantuan kewangan dan kebajikan; RM96 juta untuk perolehan aset dan RM113 juta untuk perbelanjaan operasi lain.

“Perbelanjaan awam yang berkesan kekal penting untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, menyediakan perkhidmatan awam yang penting, dan membiayai pelaburan yang menyokong keperluan semasa serta pembangunan masa depan.

“Oleh itu, adalah penting untuk mengutamakan perbelanjaan kita kepada aktiviti berimpak tinggi dan produktif sambil memastikan program dan projek dilaksanakan dengan cekap,” ujarnya.

Bagi perbelanjaan pembangunan di negeri ini pula, Abang Johari berkata, Belanjawan Negeri 2025 menyediakan peruntukan sebanyak RM10.9 bilion, belanjawan pembangunan terbesar dalam sejarah Sarawak.

“Belanjawan ini akan terus menyediakan peruntukan kepada sektor-sektor utama untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi dan akhirnya menjadikan ekonomi negeri kuat, teguh dan berdaya tahan,” ujarnya.

Dengan itu katanya, Belanjawan Negeri 2025 berpusat kepada pencapaian lima matlamat utama iaitu membangunkan masyarakat yang makmur dan saksama di mana tiada seorang pun akan ketinggalan.

Selain itu katanya, meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat melalui inisiatif berorientasikan rakyat; memperkukuhkan keupayaan dan kemampuan Kerajaan untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti; meningkatkan kedudukan fiskal Negeri ke arah kelestarian kewangan; dan mengubah Sarawak menjadi sebuah wilayah maju dan hab hijau.

“Berpandukan kepada matlamat-matlamat ini, Belanjawan Negeri 2025 disusun merentasi lapan Teras Strategik yang bertujuan untuk mengarahkan ekonomi Sarawak ke arah menjadi ekonomi yang teguh, maju dan berdaya tahan menjelang 2030,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU