ARTIKEL

Penghulu Raini Piee

Belanjawan Sarawak 2026: Pemimpin Akar Umbi Sambut Baik Kenaikan Elaun KMKK, Anggap Tanggungjawab Semakin Besar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Pengumuman kenaikan elaun Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) menerusi Belanjawan Sarawak 2026 terus menerima reaksi positif daripada pemimpin komuniti, yang melihat langkah itu sebagai pengiktirafan kerajaan negeri terhadap peranan mereka di peringkat akar umbi.

Ketua Masyarakat Kawasan Samalaju, Penghulu Raini Piee, 66, berkata lonjakan elaun tersebut memberi ruang kepada KMKK untuk meningkatkan keupayaan dan ketelusan dalam merancang pembangunan kampung.

Pengiran Hamdan Pengiran Kerta

“Kenaikan elaun ini sangat membantu. Saya berharap KMKK dapat meningkatkan lagi prestasi mereka, mempunyai visi yang lebih tinggi dan memainkan peranan penting dalam kemajuan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara ketua kaum, ketua masyarakat, Ahli Parlimen Bintulu serta ADUN N.70 Samalaju amat penting dalam memastikan isu kampung sampai kepada pihak berwajib.

“Ketua masyarakat perlu sentiasa berganding bahu dengan wakil rakyat untuk mengemukakan masalah di kampung-kampung,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Assyakirin Fasa 1, Pengiran Hamdan Pengiran Kerta, 74, turut menyambut baik inisiatif kerajaan negeri yang disifatkannya sebagai langkah menghargai sumbangan KMKK selama ini.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Abang Jo atas keprihatinan terhadap nasib KMKK. Bila elaun ditambah, bertambah jugalah tanggungjawab kami,” katanya.

Menurut beliau, penambahan elaun tersebut sewajarnya menjadi motivasi kepada semua KMKK untuk melaksanakan tugas dengan lebih komited, telus dan profesional.

“Kami akan terus bekerja keras demi kebajikan penduduk kampung,” tambahnya.

Kedua-dua pemimpin masyarakat itu berharap Belanjawan Sarawak 2026 dapat terus menyediakan ruang pembangunan lebih seimbang, khususnya melibatkan infrastruktur asas, peluang ekonomi dan kesejahteraan penduduk luar bandar.

Isnin lalu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2026 pada Persidangan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, mengumumkan kenaikan RM400 elaun bulanan KMKK bermula 1 Januari depan dengan peruntukan tambahan RM37 juta setahun.

Beliau berkata, pelarasan terakhir elaun KMKK dibuat pada 2018 dengan peningkatan sebanyak RM100.

Katanya, mereka memainkan peranan penting dalam mengekalkan keharmonian sosial, menyelesaikan pertikaian setempat serta menyokong pelaksanaan dasar kerajaan di komuniti masing-masing.

Ujarnya lagi, kenaikan terbaru ini adalah penghargaan terhadap khidmat dan tanggungjawab KMKK yang membantu pembangunan komuniti serta memperkukuh hubungan antara rakyat dan kerajaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU