ARTIKEL

Dr. Sim

Belanjawan Sarawak 2027: Hasil Negeri Dijangka Lebih RM15 Bilion


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Belanjawan Sarawak 2027 yang memperuntukkan RM14.845 bilion membuktikan keupayaan kewangan negeri terus berkembang apabila hasil kerajaan dijangka melepasi RM15 bilion tahun depan, berbanding kira-kira RM6.8 bilion sedekad lalu.

Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan pendekatan kerajaan negeri yang mengutamakan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Kira-kira 64 peratus daripada keseluruhan peruntukan belanjawan negeri disalurkan kepada pembangunan, jauh lebih tinggi berbanding 18 peratus dalam belanjawan Persekutuan.

“Pendekatan berorientasikan pembangunan ini turut memberi penekanan kepada kawasan luar bandar bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Belanjawan Sarawak 2027 semasa ditemui pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Dr. Sim turut membandingkan kedudukan kewangan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan mencatat defisit RM87 bilion, bersamaan 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, Sarawak bukan sahaja mengunjurkan lebihan belanjawan RM264 juta, malah memperuntukkan RM300 juta kepada Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak sebagai simpanan strategik untuk kegunaan jangka panjang.

Tanpa mengambil kira simpanan itu, tegasnya, lebihan belanjawan negeri dianggarkan melebihi RM500 juta, sekali gus menunjukkan keupayaan kerajaan negeri mengurus kewangan sambil menyediakan dana untuk generasi akan datang.

Dalam aspek pendidikan, Dr. Sim memuji kesinambungan dasar yang mengutamakan rakyat, termasuk pendidikan percuma, bantuan wang saku, kelas tuisyen, pengangkutan sekolah percuma dan pemberian komputer riba kepada golongan yang layak.

Beliau turut menyentuh peluang biasiswa yang disediakan kerajaan negeri, sambil menegaskan kepentingan memberi peluang kepada pelajar berprestasi cemerlang tanpa mengira latar belakang ekonomi keluarga.

“Bagi membantu menangani kos sara hidup, kesinambungan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) turut memberi manfaat kepada pelbagai golongan, termasuk isi rumah berpendapatan rendah dan individu bujang,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kesinambungan manfaat kesihatan untuk warga emas, selain diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus yang dinikmati pengguna merentasi pelbagai kategori isi rumah.

Menurutnya, diskaun elektrik itu dapat mengurangkan beban perbelanjaan bulanan, khususnya bagi isi rumah yang mencatat penggunaan tenaga tinggi, sekali gus memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.

Tambah Dr. Sim, keseluruhan inisiatif berkenaan menunjukkan Belanjawan Sarawak 2027 dirangka untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat dan bukan semata-mata berorientasikan pilihan raya.

Mengulas sumber pendapatan negeri, beliau turut menyentuh sumbangan cukai jualan negeri yang diperkenalkan pada 2018 serta dividen daripada syarikat milik kerajaan negeri, yang menurutnya membantu mengukuhkan kedudukan kewangan Sarawak.

Justeru, beliau berharap usaha memperkukuh hasil negeri dan pengurusan kewangan berhemat dapat diteruskan bagi memastikan pembangunan, bantuan rakyat serta simpanan jangka panjang kekal menjadi keutamaan kerajaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU