ARTIKEL

Foto: GHAZALI BUJANG

Belanjawan Sarawak 2027: RM6.4 Bilion untuk Pembangunan Luar Bandar


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Belanjawan 2027 Sarawak terus memberi tumpuan kepada perbelanjaan pembangunan dengan memperuntukkan RM10.098 bilion (64 peratus) daripada keseluruhan peruntukan.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, daripada jumlah itu, RM6.4 bilion (64 peratus) dikhususkan untuk inisiatif pembangunan luar bandar.

“Kesalinghubungan hanyalah permulaan. Pembangunan infrastruktur perlu melangkaui pembinaan jalan raya dan jambatan, seterusnya membuka peluang baharu bagi mentransformasikan kawasan luar bandar,” katanya ketika membentangkan Bajet Sarawak 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar menerusi Teras Strategik Kelima Bajet Sarawak 2027 yang turut memberi tumpuan kepada peningkatan udara dan maritim, peluasan bekalan air dan elektrik serta pembangunan rangkaian pengeluaran tempatan.

“Bagi memperkukuh jaringan pengangkutan, sebanyak RM2.27 bilion diperuntukkan di bawah pembiayaan alternatif bagi meneruskan pembangunan infrastruktur pengangkutan utama negeri.

“Ini termasuk Jalan Pesisir Sarawak, Jalan Utama Kedua Sarawak, Lebuh Raya Pesisir Utara serta Jalan Sultan Tengah dan Jambatan Baharu Santubong, selain RM742 juta disediakan bagi pembinaan jalan raya dan jambatan di seluruh Sarawak,” dedahnya.

Dalam pada itu, RM8 juta diperuntukkan untuk kajian Pelan Induk Pelabuhan Sarawak bagi membangunkan sistem pelabuhan yang lebih cekap, bersepadu dan bersedia memenuhi keperluan perdagangan pada masa hadapan.

Sejumlah RM1 juta diperuntukkan kepada sektor penerbangan bagi kajian awal pelan induk berkaitan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu yang dirancang sebagai hab serantau dengan kapasiti mengendalikan 15 juta penumpang setahun.

“Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM25 juta bagi projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Limbang kepada 1,790 meter dan RM11.5 juta untuk Lapangan Terbang Pelepasan dan Pendaratan Singkat (STOL) Bebuling yang mempunyai landasan sepanjang 1,190 meter,” jelasnya,

Sementara itu, RM32.8 juta disediakan bagi kemudahan pendaratan sungai dan infrastruktur keselamatan maritim, termasuk sistem pengesanan vesel, alat bantuan pelayaran serta kerja menaik taraf kemudahan berkaitan pengangkutan air.

Dalam usaha memperluas akses kepada kemudahan asas, liputan bekalan air di seluruh Sarawak kini mencapai 86.1 peratus, manakala liputan bekalan elektrik luar bandar berada pada tahap 99.3 peratus.

Pada masa sama, RM183 juta diperuntukkan untuk Grid Bekalan Air Sarawak dan RM255 juta bagi program penggantian saluran paip di bawah pembiayaan alternatif.

“Sejumlah RM454 juta disediakan bagi kemudahan bekalan air, termasuk peluasan loji rawatan di seluruh negeri,” ringkasnya.

Bagi bekalan elektrik pula, RM50 juta diperuntukkan di bawah pembiayaan alternatif untuk meneruskan projek Skim Elektrifikasi Luar Bandar, manakala RM63.5 juta disediakan bagi penggantian bateri solar di bawah Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) serta peluasan grid elektrik.

Sebanyak RM6 juta turut diperuntukkan menerusi program Bantuan Kewangan Kerajaan untuk Caj Sambungan bagi membantu 3,000 isi rumah berpendapatan rendah di kawasan bandar.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri meneruskan pendekatan pembangunan berasaskan rangkaian pengeluaran tempatan.

“Ini bagi memastikan kemudahan infrastruktur yang disediakan dapat merangsang aktiviti ekonomi, meningkatkan pendapatan serta membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU