Beli tiket KWJF guna Sarawak Pay

KUCHING: Kuching Waterfront Jazz Festival (KWJF) 2019 akan menampilkan kaedah pembayaran baharu iaitu e-transaksi melalui Sarawak Pay.

Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak Sektor Perdagangan, Edwin Abit berkata, KWJF 2019 akan bekerjasama dengan aplikasi Sarawak Pay untuk menggalakkan urus niaga e-dagang dan tanpa tunai.

“Terdapat diskaun istimewa hanya untuk mereka yang membeli tiket KWJF menggunakan aplikasi Sarawak Pay,” jelas beliau.

Edwin berkata, melalui pertandingan pencarian bakat KWJF Jazz Band, band tempatan mendapat peluang untuk tampil di konsert bersama-sama dengan penyanyi lain.

“Kami berharap ini dapat membantu untuk mewujudkan lebih banyak pendedahan kepada mereka,” ujarnya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Menurut kenyataan media daripada Place Borneo, acara tahunan KWJF akan kembali lagi pada 27 dan 28 September pada tahun ini di Waterfront Walkway, Hotel Grand Margherita Penyanyi KWJF ke-3 ialah Ning Baizura (Malaysia), Saxx In The City (Indonesia), Sitti Navarro (Filipina), Ushera (Malaysia), Nisa Addina (Sarawak), Dave Brewer & The DooDaddies (Australia) dan banyak lagi yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Perayaan jazz telah diwujudkan pada tahun 2017 oleh SEDC untuk menyerlahkan Kuching Waterfront dan menjadi platform untuk memupuk bakat muzik tempatan serta menyokong perniagaan tempatan.

Selain konsert muzik, KWJF menjanjikan sambutan pesta pada kali ini akan turut menawarkan pelbagai makanan dan minuman, seni, kraf, aktiviti dan bengkel.

Acara yang dilakukan seisi keluarga adalah acara ‘free-standing’ dengan beberapa skrin dan ruang istirahat di seluruh kawasan festival.