PAKAN: Penganjuran Kejohanan Futsal Liga Sukan Komuniti terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan komuniti dan menggalakkan penglibatan aktif belia dalam aktiviti sukan serta pembangunan komuniti.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata sukan bukan sahaja memainkan peranan dalam mewujudkan komuniti yang sihat dan aktif, malah berfungsi sebagai medium berkesan untuk mengeratkan hubungan dan memupuk semangat kerjasama antara penduduk.
Beliau berkata penubuhan kelab dan persatuan di peringkat komuniti penting bagi memastikan pelbagai program dan aktiviti dapat dijalankan secara berkala, terutamanya yang melibatkan belia.

“Belia merupakan aset berharga negara dan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan pada masa hadapan.
“Mereka perlu diberi peluang untuk menyertai secara aktif program-program yang dapat membentuk keperibadian mereka, meningkatkan kemahiran kepimpinan dan mengukuhkan identiti mereka,” katanya ketika merasmikan majlis penutup pertandingan baru-baru ini.
Beliau turut memuji komitmen pelbagai organisasi dan anggota komuniti di Pakan yang sentiasa proaktif menganjurkan program dan aktiviti melibatkan belia, sekali gus menjadikan daerah itu antara kawasan paling aktif dalam pembangunan komuniti.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan sukan di Pakan, Larry mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada Kelab Bola Sepak Pakan bagi membantu kelab menjalankan pelbagai aktiviti dan program pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, beliau menekankan keperluan untuk menambah baik sistem pencahayaan gelanggang futsal supaya kemudahan tersebut dapat digunakan dengan lebih selesa dan selamat pada waktu malam.
Beliau berkata penambahbaikan itu akan membolehkan lebih banyak aktiviti sukan dan rekreasi berlangsung serta memberi peluang kepada penduduk untuk memanfaatkan gelanggang secara optimum.
Kejohanan Futsal Liga Sukan Komuniti mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan yang hadir memberikan sokongan, sekali gus mencerminkan semangat kesukanan, perpaduan dan kebersamaan yang kukuh dalam komuniti setempat.



